Tuesday, September 26, 2006

PESTA MEMBELI BELAH , PESTA PEMBAZIRAN, PESTA MAKSIAT VS PESTA BERIBADAT


Amat menarik melihat sindrom rakyat Melayu Islam di Malaysia dan yang bukan Islam. Merempuh, membanjiri bazar Ramadhan, pusat membeli belah sepanjang bulan yang mulia ini. Namun yang menyedihkan, masjid-masjid khususnya di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur seakan lengang apabila sunat taraweeh mahu diadakan. Kehangatan, keinginan untuk membudayakan amal-ibadat di bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan pengampunan, bulan rahmat penuh rahmat ini tidaklah sehebat, daya usaha manusia Melayu yang berduyun-duyun membanjiri Giat, Mydin, Jalan TAR, Bukit Bintang, Sogo, Jalan Raja Alang, untuk membeli alang kepalang. Biar pape asal bergaya. Falsafah Ramadhan sebagai bulan memperbanyakkan amal-ibadat, dibukakan pintu-pintu langit dan syurga untuk umat manusia memohon rahmat dan keampunan Allah dibayangi dengan falsafah yang cukup bertentangan. Ramadhan dijadikan pesta membazir makanan, pesta membeli belah barang bukan keperluan. Pesta keluar malam atas nama bertaraweeh kononya, pesta maksiat di bar-bar kontot di Jalan Maarof, Jalan P.Ramlee, Jalan Sultan Ismail, dan Jalan Ampang secara berterusan. Puasa bagi sesetengah umat Islam di bandaraya metropolitan Kuala Lumpur mungkin hanya membawa mesej puasa perut, menahan lapar dan dahaga.Namun nafsu, mata, telinga, pakaian, perbuatan dan tindakan tidak pula berpuasa dalam ertikata yang sebenarnya. Lebih malang, pesta makan dikhalayak ramai juga berleluasa di Chow Kit, Sentul dan Jalan TAR. Amat malu,BANGSAKU melayu. Seharusnya Ramadhan dijadikan ruang bagi umat Melayu Islam di Malaysia untuk menunjukkan kekuatan akal budi, fizikal mental serta spiritual, kepada bukan ISLAM. Meksipun berlapar dahaga, namun melayu gigih berniaga, walaupun tidak menjamah makanan dan minuman namun prestasi keraj di pejabat cukup memuaskan. Walaupun berpuasa, namun makin gagah dan gigih berusaha mendaulatkan Islam, bukannya makin berani dan gigih menderam dengan motor diwaktu malam dengan minah rempit dibelakang sebagai pemboncengnya. Atau berani bercengkerama meskipun di bulan Ramadhan inu adanya malam yang lebih baik dari seribu bulan yakni Lailatul Qadar. Namun bukan Lailatul Qadar yang dicari, tetapi yang dijejaki adalah kupu-kupu malam dan bohsia yang berterbangan. Ramadhan patutnya menjadi satu pesta beribadat, dilakukan secara besar-besaran, apa salahnya Dataran Merdeka yang selama ini disibukkan dan dihingar-bangarkan dengan dentuman muzik konsert dan pesta, kita alunkan dengan bacaan dan tadarus Al-Quran. Apa salahnya kita berjemaah taraweeh, witir, sunat hajat, sunat taubat di dataran Merdeka berama-ramai. Apa salahnya, disepanjang Jalan Masjid India, kita suburkan sedekah dan derma kepada fakir miskin, jangan hanya ditunggu Mydin Borong sahaja melakukannya. Apa salahnya, kita himpunkan setingga bandar yang miskin, ibu tunggal, anak yatim secara besar-besaran, mengajak mereka berbuka setiap hari dan memberi bantuan agar kegembiraan Aidilfitri dan nikmat Ramadhan dikongsi bersama. Apa tidak mampukan kita menghiburkan hati para pesakit di HUKM, HUKL, Hospital Universiti, dan yang berdekatan dengan alunan doa, zikrullah dan bacaan yasin untuk mempercepatkan proses rawatan mereka. Apa tidak ada upayakah dikalangan kejiranan kita mengadakan majlis berbuka bersama dan berjemaah bersama setiap hari sekurang-kurangnya solat Isyak bagi meningkatkan silaturahim kerana selama ini kita terlalu sibuk dengan kepentingan diri sendiri, sehingga jiran sebelah handai tauladan tidak pernah kita kenali. Apa tidak ada upayakah kita, memastikan seluruh Mat Gian di Lorong Haji Taib dan yang sewaktu dengannya, golongan gelandangan ditepi dan bawah -bawah jambatan disekitar bandaraya dibela, ditunjukkan jalan yang benar dan dibimbing. Mudah-mudahan berkat rahmat Ramdahan Al-Mubarak dan hasil pesta ibadat yang ikhlas kita laksanakan dapat mengubah rupa dan wajah bangsa. Agar tidak menjadi penumpang di bumi sendiri dan paling banyak terlibat dnegan kancah yang memalukan imej agama Islam yang suci lagi murni

Tuesday, September 19, 2006

PESTA 'BUFFET' RAMADHAN BERMULA KEMBALI


'Ramadahan is just around the corner'. Kesibukan hotel, restoran memperagakan pelbagai jenis 'buffet' hidangan kini bermula kembali. Bazar-bazar ramadhan bakal tumbuh bagaikan cendawan. Anak-anak yatim akan didekati kembali, golongan korporat akan menghiasai dada akhbar menyampaikan bantuan kepada golongan orang tua, ibu tunggal dan fakir miskin. Masjid, surau, rumah Allah akan menerima kunjungan jemaah berduyun-duyun, namun akan berkurangan apabila masuk minggu kedua Ramadhan. Demikianlah hipokrasi masyarakat Melayu Malaysia menyambut ramadhan. Bulan keberkatan, bulan pengampunan, bulan istimewa yang hanya disediakan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w, diberikan persepsi yang berbeza. Ramadhan bagi masyarakat Islam di Malaysia merupakan pesta membeli belah. Pesta dan promosi untuk menukar kepada yang baru. Dari langsir, tingkap, pakaian, perabut sehinggalah pinggan-mangkuk. Pusat-pusat hiburan sesetengahnya, berlanjutan sehingga ke sahur, kedangkalan masyarakat Melayu juga terus dipraktitkan dengan berterusannya pesta maksiat, minum arak, berpeleseran pada malam bulan Ramadhan. Sedangkan di bulan ini dibukakan pintu langit, dibukakan pintu syurga, ditutupkan pintu neraka, segala jin dan iblis dirantai, diikat. Namun akibat jin dalam diri yakni nafsu yang bermaharajalela, Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan amalan maha hebat, tinggi dan lebih besar sedekah, sifat pemurah, sifat penyayang dan kemaafan sesama insan diganti dengan pesta-pestaan. Pembaziran makanan dalam majlis berbuka puasa. Pesta memperagakan pakaian baru, jenama baru dan pesta perlumbaan ke pusat membeli belah dan pesta promosi segala jenis produk dan barangan. Demikian lunturnya kefahaman Ramadhan bagi sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia. Islam celup-celupan, hanya kerana warisan dan dilahirkan sebagai Islam. Lantas 'the truth about Islam' tidak dihayati, difahami dan akhirnya puasa kita, lapar dahaga kita menjadi sia-sia. Kembalikanlah syiar dan amalan Ramadhan yang sebenarnya, insya-Allah rakyat dan negara ini akan terus diberi rahmat dan berkat oleh Allah s.w.t.

Tuesday, September 12, 2006

KERJA MENCARI MAKAN DAN MAKANAN KERJA

Tanggungjawab setiap individu untuk bekerja lazimnya untuk memenuhi beberapa keperluan. Pertamanya tentulah imbuhan, sebagai punca pendapatan, sama ada tujuan biayai kehendak nafkah dan perbelanjaan. Setiap orang perlu bekerja. Dalam perspektif Islam orang yang rajin bekerja dan menyiapkan kerjanya dengan sempurna serta melakukan kerja yang halal dan hasil pendapatannya digunakan untuk tujuan yang baik amat dipandang mulia oleh Allah s.w.t. Namun tradisi modenisme, membuktikan ramai orang bekerja sekadar hanya kerana mahu dilabel sebagai pekerja. Dalam ertikata lain bekerja sekadar untuk membolehkan ianya mendapat pendapatan tetap secara terjamin secara bulanan. Lalu timbullah soal sikap sambil lewa dalam bekerja. Tidak amanah, rasuah, mementingkan diri selain tidak melihat kerja dan setiap tugas yang dilakukan sebagai amanah yang setiap satunya akan dipertanggungjawabkan di Padang Mahsyar.

Namun dalam konteks yang lain ada pula golongan yang menjadi makanan kepada kerja. Kerja dianggap sebagai satu mekanisme untuk mengisi hidup. Sehingga dalam bekerja, meskipun ianya satu ibadah jika dilakukan dengan niat dan tindakan yang betul, ibadah asasi yang wajib seperti solat, bayaran zakat pendapatan diketepikan. Malah golongan ini, menggangap 'kerja' sebagai dunia mereka. Tidak boleh tidak mesti bekerja, sehingga tidak ada ruang masa untuk 'quality time' diperuntukkan kepada keluarga, beriadah, melakukan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, dan bersikap menjadikan 'kerja' sebagai satu bentuk tuhan yang baru. 2/3 masa dalam sehari dihabiskan untuk bekerja. Ada juga yang bekerja 24 jam sehari kerana wang sudah menjadi raja. Akibatnya , persekitaran diketepikan, hak dan nasib orang lain dipinggirkan, tanggungjawab keinsanan dan ketuhanan dilupakan sama sekali. Sebab itulah, Islam telah memperuntukkan kesimbangan yang sejati dalam urusan hidup. Demikianlah rasionalnya kenapa Allah s.w.t menjadikan masa 24 jam sebagai ruang masa sehari semalam. Agar 8 jam pertama diperuntukkan untuk bekerja, 8 jam keduanya untuk beribadat dan 8 jam lainnya untuk berehat. Namun apabila pengagihan yang harmoni ini tidak mahu dituruti maka timbullah konsep 'gila kerja', kerja gila dan ada yang sampai tahap paling extrem seperti 'mati kerana bekerja, 'malas bekerja', 'kerja ala kadar' dan akhirnya menjadi makanan kepada kerja.

Monday, September 11, 2006

JASAMU DIKENANG VS JASAMU DITENDANG


Bangsa Melayu umumnya beragama Islam. Malah peruntukan fasal 160 dengan jelas menyatakan Islam dan Melayu merupakan satu padanan yang berkait rapat. Dalam tasawwur ajaran islam dan budaya Melayu kita dididik dan diajar untuk menghormati golongan tua, mengenang jasa ibu bapa, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang pernah berbudi kepada kita. Namun pemodenan, perubahan nilai 'instant' telah menelan akar budaya tersebut. Jika sudah tua dan tidak lagi berkuasa, anda tidaklah lagi akan dihormati, malah dicaci dan tidak dipedulikan. Sebab itu sindrom khususnya dikalangan generasi baru Melayu menunjukkan ibu bapa sendiri dihantar untuk diasuh dan dijaga oleh rumah asuhan dan jagaan orang tua. Tidak ada upaya dari kalangan anak-anak, untuk menjaga orang tua sendiri, tidak tahu membelai perasaan orang tua yang cepat sensitif, malah orang tua dianggap sebagai satu beban atau liabliti yang hanya menyusahkan anak-anak. Bukankah dalam sirah Rasullulah s.a.w, diperlihatkan bagaimana sahabat baginda Al-qamah, di saat nazaknya, gagal untuk melafazkan kalimah shahadah hanya kerana melebihkan isteri berbanding keperluan ibunya. Malah ajaran AL-Quran secara makro meningatkan kita menerusi surah Luqman agar berbuat baik, berbakti dan berjasa kepada ibu bapa. Namun budaya instant menyebabkan ada ibu bapa yang dotendang, dibunuh, diherdik, dihalau dan yang paling mengaibkan dicerna dan diludah seolah-olah tidak pernah berbuat jasa atau melakukan satu apapun yang baik ke atas anak-anaknya. JASAMU DITENDANG, tidak lagi dikenang. Malah dalam satu hadis Rasullulah s.a.w. diingatkan salah satu tanda awal kiamat apabila 'hamba melahirkan tuannya'. Bermaksud ibu-ibu yang melahirkan anak, kemudiannya apabila anak-anak itu sudah berkahwin dan mempunyai cahayamata akan memperlakukan ibu mereka seperti orang gaji dirumah. Bukan sahaja tugas mengasuh cucu dibebankan, malah urusan rumahtangga, seperti memasak, membasuh turut terpaksa dilakukan, dan akhirnya, si ibu tadi tidakpun pernah diingat atau disebut jasanya, dan yang paling menyedihkan akhirnya apabila jatuh sakit kerana terpaksa bekerja kuat untuk mengasuh cucu-cucunya, si nenek tadi akan dihantar ke rumah orang tua-tua. Sebab itu, tanyalah diri anda, banggakan anda menjadi seorang Melayu Islam yang tidak tahu mengenang jasa, mengenang budi dan mengucapkan terima kasih di atas jasa baik orang lain terutamanya ibu bapa sendiri. Melayu dan Islamkah kita, jika konsep JASAMU DIKENANG KINI DIGANTI DENGAN JASAMU DITENDANG!