Monday, October 30, 2006

INDAHNYA PESTA BERAYA DI KAMPUNG


Buat kesekian kalinya, aku kembali ke kg. halamanku, bertemu ibu, menziarahi pusara arwah ayah, abang, tok dan tok wanku. Terasa damai, aman dan nikmat aidilfitri kali ini. Sanak-saudara berhimpun semuanya, masing-masing menjayakan tugas masing-masing, membuat kuih, mengemas rumah, membeli keperluan asas seperti beras pulut, daun palas dan daging lembu untuk dibuat gulai sebagai iringan dengan ketupat pulut. Anak-anak turut bersama, bakti dapat kutaburkan kepada anak-anak buahku yang telah kehilangan ayah mereka. Keyatiman mereka adalah amanah padaku. Aku tidak mampu menjadi pendusta agama dengan tidak menunaikan hak mereka, kerana aku antara waris mereka yang masih bernyawa. Aku bahagia kerana aidilfitri kali ini ukhwah bersama kaum keluarga lebih kuat. Kunjungan ke rumah sanak saudara dan teman-teman menambahkan lagi kemeriahan.

Rumah ibuku sendiri tak putus-putus dikunjungi tetamu, walaupun kami bukan keluarga wakil rakyat. Pada hari raya ketiga dapat pula kubawa anak-anak dan deretan anak buahku menghirup udara segar, bermandi manda dikaki gunung jerai. 'Pak Dak, seronoknya kami sebab Pak Dak baik hati' demikian getus Subha, salah seorang anak saudaraku.Betapa damai dan indahnya, dengan air terjun yang jernih, batu-batu sungai yang tersusun indah, lambaian pepohon yang menghijau, angin yang segar berhembus, sanak saudara yang ramah tamah, menjamu kami makan bihun sup yang enak. Raya keempat dipenuhi dengan aktviti memenuhi undangan rakan-rakan lama termasuk yang bergelar Dato', berpangkat Wakil Rakyat, Menteri dan Ahli Parlimen. Bukan sekadar di Kedah malah menjangkau jauh hingga ke Pulau Pinang, tersohor juga aku.

Mungkin kerana budi pekerti dan ilmuku yang buatkan diri dihormati orang. Malamnya beraya lagi, Baharom, Haji Fauzi dan Dato Saad mengajaku ke rumah Marikan, teman lama. Banyak ilmu kehidupan kepelajari, kisah suka duka politik marhein, tentang cabaran dan dugaan hidup. Raya kelima kerumah teman lama Dato Mat Lebai Sudin, balik dari situ singgah di Tanjung Musang menziarahi veteran UMNO yang dipotong kakinya. Tok Janggut, aktivis parti yang banyak jasa dan baktinya namun diabaikan.

Raya keenam aku bersiap untuk pulang ke ibu kota, kembali menghirup udara kotor, suasana kalut, hiruk pikuk hanya kerana mahu mencari nafkah untuk bekalan anak-anak dimasa hadapan. Sayu, dan rindu terus menggamit ibuku yang sudah tua, anak-anak terpaksa kutinggalkan, kenangan melihat aiman, anis dan putera-puteriku bermain anak sungai di Yan masih terasa. Kerinduan, nostalgia lama dan ratapan hatiku semasa menziarahi pusara ayah dan abang masih tergambar. Ramadhan ku tinggalkan penuh makna dan keinsafan. Aidilfitri tahun 2006 penuh kebahagiaan, banyak kenangan indah yang terakam dingatan. Kalaupun ini adalah Ramadhan dan Aidilfitri terakhirku, aku redha Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kerana aku cukup merasa bahagia dengan Eid Mubarak kali ini. Aku bahagia kerana melihat wajah ceria ibuku, aku bahagia kerana menggembirakan anak-anakku, aku senang kerana dapat berbakti kepada sanak-saudaraku. Aku benar-benar berpesta tahun ini, berpesta dengan penuh keinsafan. Demikianlah besarnya rahmat Tuhan, di hari lebaran yang entah akan bertemu atau tidak lagi di tahun hadapan.

Monday, October 16, 2006

BONUS DAN DUIT RAYA

Menjelang aidilfitri, selain sibuk membeli belah, keghairahan persiapan memasukkan duit raya ke dalam sampul untuk diberikan kepada anak-anak buah turut terasa. Dalam suasana ekonomi yang makin gawat, prospek perniagaan yang kian suram, prestasi syarikat yang merosot, tentulah habuan duit raya kepada para pekerja pada tahun ini akan berkurang ataupun dalam kes yang lebih parah mungkin tiada langsung. Ini akan melemahkan daya motivasi dan kehangatan sambutan hari raya. Bukannya apa, dengan sedikit imbuhan duit raya dari para majikanlah, setiap pekerja akan gunakan untuk mengagihkan duit berkenaan kepada anak-anak buah dan saudara mara dikampung. Zaman modenisasi dan globalisasi, anak-anak kecil dikampung sudah pandai meminta. Duit raya dalam nilai yang kecil akan dipandang enteng, malah akan dibanding-bandingkannya pula dengan jumlah yang diterima dari orang lain. Namun, hakikatnya, bagi syarikat yang punca pendapatannya yang merosot, atau kurang memberangsangkan, atau kekurangan dana lebihan setelah banyak dibelanjakan untuk tujuan lain, jangan jadikan itu alasan untuk tidak langsung menghulurkan duit raya kepada para pekerja anda. setidak-tidaknya dengan duit raya sumbangan anda walaupun kecil jumlahnya akan menambahkan lagi kemeriahan sambutan selian meningkatkan rasa semangat para pekerja anda untuk pulang beraya dengan wajah yang lebih ceria. Raya cuma setahun sekali, justeru apa sangat duit raya itu, anggap sebagai hadiah atau sedekah atau amal jariah kepada setiap pekerja anda, insya-Allah , rezeki syarikat akan dimurahkan oleh Allah s.w.t.

Wednesday, October 11, 2006

PESTA SAMAN DAN PESTA MELARAM


Tinggal seminggu sahaja lagi, seluruh umat Islam dan masyarakat India di Malaysia akan merayakan Aidilfitri dan Deepavali. Dengan cuti musim perayaan yang panjang, jumlah kenderaan di jalanraya akan meningkat 300% sama ada di Lebuhraya, Jalan Persekutuan mahupun Jalan negeri. Ops Sikap yang akan bermula, menandakan tugas berat pasukan Polis JPJ dan lain-lain agensi. Pada waktu inilah beribu saman akan dikeluarkan sebagai langkah membendung gejala pesta memandu dan berebut mahu balik ke kampung. Ini belum dihitung jumlah saman yang bakal dikeluarkan untuk kesalahan lain seperti memandu laju, memotong garisan berkembar, memandu menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat dan memandu dengan tidak mengenakan tali pinggang keledar. Pesta saman menyaman juga akan menjadi lebih hebat apabila usaha memburu Mat Rempit yang merempit dengan menggunakan motosikal yang tamat tempoh cukai jalan, motosikal yang diubahsuai ekzosnya mengunakan batang buluh, selain saman ke atas para penunggang dan pembonceng motosikal bawah umur yang bersahaja dibenarkan oleh ibu bapa mereka menunggang tanpa topi keledar, lesen memandu, khususnya di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil, seolah-olah negara ini negara koboi. Kesemua , berlumba-lumba untuk memandu laju, atau cepat sampai ke destinasi hanyalah untuk satu tujuan. Melaram dan mempertontonkan, baju raya baru, kasut baru, kereta dan motor baru, teman wanita atau teman lelaki baru, kereta yang baru diubahsuai mahupun handphone baru. Inilah pesta ulung rakyat Malaysia, pesta melaram, pesta kemalangan , pesta saman menyaman seiring dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri, Deepavali dan sebarang bentuk perayaan di negara ini.

Sunday, October 08, 2006

PESTA ASAP DAN JEREBU


Kesibukan menantikan Aidilfitri dihambat dengan suatu pesta baru di Kotaraya Kuala Lumpur dan kawasan sewaktu dengannya. Pesta Asap dan Jerebu. Nafas menjadi kotor, udara tercemar, penglihatan terjejas, penyakit berkaitan respiratori bertambah, klinik-klinik berdekatan menjadi tumpuan.

Entah sampai bila, malah sejak tahun 1997, nampaknya pesta menghidup asap, partikel terampai udara yang tercemar menjadi antara aktiviti rutin rakyat Malaysia. Demikianlah hebatnya senjata biokimia buatan manusia, suatu usaha simple yang hanya memerlukan tangan dan mancis api, membakar hutan dalam skala yang luas agar asap kebakaran tadi akan merebak melalui udara menyeberangi negara jiran. Inilah hadiah negara jiran Indonesia kepada negara kita, bersungguh mereka mengamalkan konsep 'prospher thy neighboour'. Prinsip yang dimulai oleh Malaysia apabila ramainya konglomerat ladang membuka kawasan tanaman kelapa sawit di Indonesia, kononya atas nama pelaburan tetapi kini kos yang terpaksa dihadapi oleh seluruh rakyat rantau ini lebih besar dari keuntungan berkenaan. Demikianlah sistem ekonomi kapitalis beroperasi. Keuntungan segelintir lebih penting dari manfaat golongan terbanyak. Dengan IPU yang makin meningkat, jarak penglihatan yang makin kabur, kesannya ada baiknya juga kepada rakyat Malaysia yang gila membeli belah. Sekurang-kurangnya dengan pengurangan aktiviti diluar, maka pesta 'shopping', pesta mengikut nafsu membeli barangan tidak perlu semata-mata kerana mahu beraya sakan akan dapat diminumkan. Moga, dalam tempoh terdekat, hujan rahmat akan mencurah untuk membasuh segala daki, kotoran dosa yang mungkin terlalu banyak dilakukan oleh warga kota, dan kehadiran jerebu serta pesta asap yang berterusan ini mungkin ingatan Illahi agar kita tidak membelakangi perintah, suruhan dan larangannya.

Monday, October 02, 2006

PESTA BALIK KAMPUNG VS PESTA AIDILFITRI, PESTA KEMALANGAN


Penghujung Ramadhan akan dimulai dengan Aidilfiri, hari kebebasan umat Islam yang menunaikan ibadah puasanya dengan ikhlas kepada Allah s.w.t untuk dilepaskan dari azab api neraka dan diampunkan kesemua dosa-dosa yang lalu. Justeru itulah pada malam hari raya dan paginya kita dituntut bertasbih, bertahmid dan berzikir memuji kebesaran Allah s.w.t tanda syukur pada nikmatnya untuk mengampunkan dosa hamba-hambanya. Kedatangan Aidilfitri juga sama ada bagi warga kota atau penduduk di mana sahaja, akan turut menimati susana pesta balik kampung. Aidilfitri tidak ada seri atau maknanya tanpa balik kampung, demikianlah persepsi sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Sebab itu lagu 'Dendang Perantau' nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tetap menjadi malar hijau dan tidak lengkap hari raya tanpa lagu berkenaan. Ini memandangkan lagu tersebut cukup kuat untuk menggamit seluruh perantau pulang ke kampung halaman untuk meraikan aidilfitri. Seolah-olah manifestasi balik kampung, menziarahi sanak-saudara, bermaaf-maafan, berkumpul bersilaturrahim sesama sanak saudara hanya muncul di hari raya. Waktu-waktu lain seolah-olah segala episod manis tentang kampung halaman terpadam. Malah ramai wargakota sendiri yang malu mengaku dirinya berasal dari Kg. Lahar Yooi, Kg. Lana Bulu, Kg Biak atau pelbagai nama Kg. Lagi dimusim bukan hari raya. Manifestasi pesta balik kampung seringkali akan diimbangi dengan pesta kemalangan jalan raya. Entahlah dimana adab dan budaya pemandu di Malaysia, bila sahaja musim perayaan seperti Aidilfitri menjelang, sibuklah anggota polis mengadakan Ops Sikap, bertambah bebanlah kerja para doktor, jururawat, JPA3, Bomba, PLUS untuk menguruskan mayat atau anggota badan yang cedera di Jalan Persekutuan , Jalan Negeri dan Lebuhraya. Apakah kerana keghairahan balik kampung, kerana mabuk ketupat, atau terasa 'high' kerana terlalu banyak makan dodol, bahulu, nasi himpit, soto, satay atau mungkin kerana terlalu banyak menonton rancangan sarkas di TV atau mungkin juga, masyarakat Melayu apabila merayakan Aidilfitri, menggangap bahawa saat inilah segala-galanya mesti dikorbankan. Bukan sahaja wang ringgit, malah diri sendiri, sebab itu jumlah korban kemalangan di musim aidilfitri meningkat mendadak, mengalahkan jumlah korban perang di Iraq mahupun Afghanisthan. Entahlah, sampai bila pesta balik kampung, pesta Aidilfitri dan peningkatan jumlah kematian dalam pesta kemalangan akan berterusan.