31 OKtober 2007: Genap 4 tahun Pak Lah diangkat menjadi Perdana Menteri, tarikh ini juga adalah hari lahir Tun Mahathir Mohamad, detik yang sama juga Tun Mahathir bersara secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas 22 tahun di puncak kuasa.
Perkembangan mutakhir menyaksikan situasi politik, sosial dan ekonomi negara diasak dari pelbagai penjuru. Lambakan buruh asing yang 'halal' dan 'haram' terus menimbulkan gugatan kepada keselesaan hidup rakyat. 2.5 juta jumlah mereka dan bakal meningkat menjadi 5 juta menjelang 2010, membuatkan rakyat resah gelisah dan terasing, terkepung di negara sendiri. Kos sara hidup dan harga barangan tidak pernah kenal erti jemu untuk terus naik, bakal meninggikan lagi darjah kemarahan rakyat. Paras harga minyak mentah sedunia tidak menunjukkan tanda-tanda akan menurun, dalam masa yang sama harga komoditi seperti kelapa sawit mencacak naik, imbuhan dan laba besar untuk sektor perladangan negara.
Gabungan parti pembangkang pula dengan pelbagai 'tagline' dan 'kempen' bakal mengadakan satu perhimpunan besar-besaran tanggal 10 November di Dataran Merdeka, jam 3.00 petang. Visi mereka menghimpunkan 100,00 khalayak untuk berarak dari Dataran bersejarah itu ke Istana Negara bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.
8 November pula, masyarakat India di tanahair tercinta ini bakal merayakan Deepavali. UMNO , parti keramat orang Melayu, akan sekali lagi menghimpunkan seluruh barisan kepimpinan dan ahlinya dalam muafakat perhimpunan kali ke-58, dari 5-9 November. Disebalik kehangatan kesemua peristiwa yang bakal mengambil tempat, usaha pembersihan ke atas golongan korupsi, dan pengkhianat negara terus diperkasakan dengan BPR memainkan peranannya. Syabas BPR, akan tetapi bak kata Pengerusi PAC, Dato' Shahrir Samad, jangan hanya diserkup si 'ikan bilis', buru juga 'si ikan jerung'. Undang-undang untuk semua, dan keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, tetapi harus diperlihatkan perlaksanaanya.
Peristiwa paling besar yang menuntut perhatian semua tentulah 'tarikh pilihanraya umum ke-12'. Justeru itulah semua YB sedia ada dan yang berangan-angan mahu memakai 'title' berkenaan. bukan main ramah senyuman mereka. Cukup giat khidmat dan sumbangan bakti mereka. Ada hikmahnya, kerana rakyat ,mula didekati, pengumuman projek pembangunan dan pelaksanaanya mula dirasai.
Malangnya, politik bagi kebanyakkan orang hanya ditafsir dari sudut kuasa. Siapa mendapat apa, bila dan bagaimana. Politik tidak pernah dimaksimakan potensinya untuk pembangunan minda, merapatkan ukhwah sesama kaum dan bangsa atau, berlaku ikhsan, berlapang dada sesama insan. Politik harus direncanakan untuk kepentingan majoriti, bukan bagi tempoh jangka pendek, malah mampu memenuhi citra di masa hadapan.
Berpolitik seharusnya mampu mensejahterakan penghidupan rakyat. Meniupkan perpaduan di kalangan mereka, membuka jalan bagi meingkatkan taraf sosial dan tahap keselamatan di kalangan rakyat, serta menjadikan seluruh rakyat berasa selesa, dilindungi oleh persekitaran yang kondusif dan pemimpin yang produktif.
Semoga Allah s.w.t terus melindungi negara bertuah Malasyia ini dari sebarang mara bahaya dan gejala petaka. Amin...