Showing posts with label politics. Show all posts
Showing posts with label politics. Show all posts

Thursday, July 24, 2008

KEMPEN 'HARI TANPA POLITIK"

Rasanya sudah terlalu banyak pergolakan yang berlaku dalam negara kebelakangan ini. Baik kegawatan politik mahupun tekanan kemelesetan ekonomi. Marilah sama-sama kita mendokong usaha untuk menjayakan kempen 'HARI TANPA POLITIK'. Biar negara ini lebih tenang, aman dan fikiran rakyat tidak bercelaru memikirkan banyak perkara yang mendatang..

Tuesday, July 01, 2008

MARILAH DUDUK SEMEJA, BERBINCANG DAN BERSATU..

Suka saya menyarankan agar pimpinan utama orang-orang Melayu demi survival bangsa dan kepentingan agama selain memelihara maruah diri, adab dan imej keluarga, untuk duduk semeja, berbincang.
Dengan bersaksikan alim ulama di ketuai oleh Dr. Harun Din, Dr. Mohd Asri Zanol Abidin, saya pinta Tun Dr. Mahathir, YAB PM, TPM, Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat untuk duduk berbincang, fikirkan kepentingan bangsa dan agama, ketepikan sementara agenda peribadi dan kepentingan politik parti.

Monday, April 28, 2008

APA SELEPAS INI?

222 Ahli Parlimen mengangkat sumpah hari ini 28/4/08. Diharapkan 82 wakil pembangkang menjadi wakil yang berkesan. Tuntut penurunan harga minyak, bersihkan rasuah, korupsi dan kronisme dalam kerajaan. Desak amalan pentadbiran yang telus, bahagiakan rakyat dengan perjuangan anda. Jangan sekadar dibuai kerusi empuk dan status YB, jadilah seorang pejuang bukan petualang. Manfaatkan penggal anda sebagai Ahli Dewan Rakyat dengan berbuat jasa bukannya dosa. biar jasa jadi kenangan agar bila mati kelak meninggalkan nama yang tersohor lagi kudus.

Tuesday, January 15, 2008

APA LAGI YANG TAK KENA

Indeks jenayah 13.4%, ekonomi negara diramal suku ketiga 6%, indeks Bursa Malaysia melepasi paras 1,500 mata. Pinjaman perumahan untuk golongan tidak berpendapatan tetap RM50 juta. Yuran sekolah ditiaadakan, bantuan segera menjelang 31 janurai untuk semua sekolah RM3 billion.
CUEPACS bakal berjaya dalam tuntutannya untuk mendapatkan honororium RM2,000 bagi hampir 1.1.juta kakitangan awam. SPR dah penuhi kehendak bersih gunakan dakwat dan peti undi lutsinar. apa lagi yang dimahukan. Mahu menjadi seperti Pakistan, Afghanisthan, Taliban, Iraq, atau Bosnia satu ketika dahulu. Rakyat tak dak masalah, yang bermasalah pimpinan politik, jadi jangan heret rakyat yang mahu hidup aman semata-mata mahu menjayakan politik jalanan ala demokrasi barat anda. Kami dah bosan!

Monday, June 04, 2007

POLITIK IMBUHAN DAN KEUNGGULAN BN


DEB,(strategi politik imbuhan dan pembangunan) dalam apa jua keadaan sekalipun yang telah dilancarkan pada tahun 1970, haruslah dilihat sebagai mekanisme yang telah membantu melonjakkan mobiliti sosial bangsa Melayu sebagai golongan klas menengah yang baru. Disamping turut memanfaatkan bukan Melayu dan rakyat Malaysia umumnya dalam pelbagai bidang.
Sebab itu, dominasi BN sepanjang sejarah bermula Pilihanraya MPP 1955, membawa kepada Pilihanraya Umum pertama 1959 hinggalah penguasaanya dalam PRU ke-11 2004, ada kaitan dengan tiga faktor:
a) Keupayaan memberi dan menyediakan 'basic neccesity of life' yang diperlukan oleh masyarakat, dalam bentuk jaminan pekerjaan, kediaman, keselamatan dan kehendak asas hasil sumber modal yang banyak dimilikinya.
b) Kemampuan bersikap pragmatik, bukannya dogmatik untuk menyelaras kehendak masyarakat berbilang kaum. Dalam politik diterjemahkan konsep muafakat dan politik kongsi kuasa, dalam ekonomi adanya kesalingan antara pimpinan politik Melayu dan pengusaha bukan Melayu.
c). Kelebihan dari sudut memahami, mengerti apa makna politik sebenarnya. Sebab itu segala daya upaya usaha BN adalah bertujuan untuk mempertingkat, mengekal dan mendapatkan kuasa politik dengan apa juga cara. Ini berbanding dengan parti pembangkang misalnya PAS yang lebih mirip badan dakwah, DAP lebih terarah sebagai badan sosial, dan PKR lebih terhadap gerakan masa.
d) BN mengerti dan tahu apa yang dimahukan rakyat, bagaimana mahu membelai perasaan pengundi, apa kaedah untuk menanam ketaatan pengundi kepada mereka, bagaimana strategi terbaik untuk mengikat dan meningkatkan sokongan pengundi kepada mereka, sebaliknya pembangkang lebih gemar mencari kesalahan pihak lain untuk menutup kegagalan mereka mendekati dan meraih sokongan pengundi.
Atas terma dan prinsip-prinsip asas ini .politik imbuhan' 'politik pembangunan' sekali lagi akan menjadi senjata yang bakal membuktikan penguasaan dan keunggulan BN dalam PRU ke-12 nanti.

Wednesday, March 28, 2007

AHLI NUJUM POLITIK




Demam pilihanraya yang berlarutan, bermula dengan di Batu Talam, dituruti Machap paad 3 April nanti. Di tambah dengan teka teki pilihanraya Umum yang dijangka diadakan antara November 2007- Mac 2008 mewujudkan implikasi pelbagai. Kesan segeranya muncullah golongan pelobi, sibuklah peranan pelbagai agensi, akan berkerumunlah wakil rakyat atau ADUN sedia ada dalam majlis rasmi yang di hadiri oleh pembesar negara.

Seperkara yang menarik, dalam tempoh getir ini muncul pula sekelompok golongan yang menggelarkan diri mereka kononya sebagai penganalisa politik. Dengan sedikit pengetahuan, bacaan buku-buku politik picisan, tanpa pendidikan dan pengalaman formal sama aad secara langsung atau tidak, golongan ini ibarat ahli nujum moden. Malangnya analisa mereka itu cetek, meloyakan malah menghina kredibiliti penganalisa tulen lagi sebenar.

Inilah masalah asas apabila golongan bukan ahli dan pakar bercakap sesuatu sekadar untuk keuntungan sedikit atau kerana mahu diri mereka dikenali. Kesannya, pimpinan akan 'mislead', maklumat benar dipesongkan, langsung mempengaruhi tindakan dan gerakerja seluruh organisasi. Kegilaan penganalisis tiruan ini makin menjadi-jadi dan yang paling merbahaya apabila golongan ini dikatakan boleh mempengaruhi pucuk pimpinan dalam menentukan sama ada individu berkenaan boleh dipilih sebagai calon atau tidak. Inilah profesion bentuk baru yang diolah hasil pengalaman lama, ibarat penjual ubat di kaki lima Chow Kit, Jalan Masjid India atau Pekan Rabu, berbekalkan modal air liur, ungkapan yang hebat-hebat, slogan yang memukau mereka inilah yang akhirnya menjahanamkan tradisi ilmu, dan keluhuran bidang kajian politik.

Monday, January 08, 2007

PILIHANRAYA DATANG LAGI

Tirai 2007, selain bencana banjir yang kini mula menjengah kenegeriku di Kedah dan seperti biasa di Kelantan, tahun yang bagi kalendar Cina adalah 'tahun khinzir', RAKYAT Malaysia khususnya di Batu Talam, Raub, bakal menerima durian runtuh. Apa tidaknya mulai 16-28 Januari ini, maka segala pembesar, pemimpin negara dari seluruh pelusuk Malaysia akan mendekati, membelai dan berbondong-bondong membawa lampu ajaib untuk menunaikan apa jua kehendak dan permintaan lebih 10,000 pengundi. Tujuannya hanya satu to increase and preserve political power. To win by-election through whatever means.

Lalu konsep dan pendekatan Machieavalli, 'the ends justifies the means' akan berleluasa. Sebab itu, saya menolak pandangan Tun Mahathir bahawa pilhanraya kecil ini adalah medan untuk menguji mood rakyat yang dilihat kurang baik tidak seperti tahun 2004 dahulu. Pilihanraya bukanlah soal mood, pilihanraya adalah tentang ;situasi semasa', pihak mana yang mampu menawan hati pengundi semasa kempen dijalankan, mampu mempersembahkan isu dalam bentuk yang menarik perhatian dan mampu menghamburkan segala bentuk kebendaan, maka parti berkenaanlah akan dipilih. Malaysia dan rakyatnya belumlah mencapai satu tahap pemikiran dan sosiopolitik yang matang.

Sebagai contoh personaliti, karisma, personal komunikasi dan sahsiah dan tingkat keilmuan serta visi kepimpinan jarang diambil kira oleh pengundi sebelum memilih. Apa yang mustahak bagi segelintir pengundi, siapa sahaja yang dipilih , nasib rakyat tidak akan banyak berubah. Bagi segelintir pengundi yang taksub dengan parti tertentu, golongan ini tidak ada rasionalnya lagi. Mereka memilih atas prinsip kesetiaan pada parti meskipun calon yang diletakkan oleh parti mereka, bobrok dan begitu rendah moral atau lemah kepimpinannya. Apa yang penting bagi pengundi jenis ini bukanlah faktor calon, tapi parti induk yang mewakili mereka.

Bagi pengundi lain pula mereka melihat keupayaan, kepetahan calon berpidato, status latarbelakangnya, sama ada anak tempatan atau orang luar. Budi pekertinya, pegangan agamanya, track-record perkhidmatannya pada rakyat dan parti selain kemampuan membawa pengundi ke gerbang kemajuan. Pengundi jenis ini amat minoriti bilangannya, justeru janganlah salahkan YB yang baru diplilih nanti jika selepas menang, YB berkenaan sibuk berkampung di KL menjalankan urusan businessnya, kerana majoriti pengundi masih lagi mempunyai sikap dan pemikiran separa matang , dan mengamalkan nilai politik era 50-an. Berpestalah penduduk Batu Talam, peniaga goreng pisang, rumah sewa orang kampung, gerai mee rebus, warung kopi, motel, rumah tumpangan serta kereta sewa, akan terlebih dilanggan oleh orang dari luar. Rahmat rezeki dari Allah s.w.t untuk penduduk batu Talam.

Selamat berkempen, selamat berpesta dengan wang ringgit yang bakal gugur dari langit dan inilah kesempatan anda untuk mengutip zakat , mengambil sedekah dari pembesar negara yang sebahagian besar dari mereka tidakpun pernah menjejakkan kaki ke kawasan ini. Namun, kerna terpaksa demi undi,maruah parti ku gagahkan , kurelakan jua kaki ini melangkah pergi walau terpaksa meninggalkan anak isteri, tidak mengapa kerana di sana nanti, penuh dengan putera dan puteri yang bersorak meriah di hari mengundi, pesta buat kesekian kali yang memang diidamkan oleh setiap pengundi. Selamat mengundi, undilah menggunakan kepala otak bukannya dengan menggunakan kepala lutut.

Wednesday, August 16, 2006

POLITIK ATAU SIASAH


Politik lazimnya dikaitkan dengan kuasa. 2,500 tahun yang lampau apabila tamadun awal dunia terbina di tebing Sg. Tigris dan Eupharates, manusia sudah mula berorganisasi, mencari muafakat bagaimana mahu mengairi kawasan tanaman dan pertanian. Maka muafakat, usaha untuk menyelesaikan masalah itulah yang dinamakan siasah, atau dalam pengertianmoden sekarang 'politik'. Semua orang dan setiap individu minat politik. Sama ada bercita-cita mahu menjadi ahli politik, bekerja dengan 'orang politik', menjadi balaci dan gurkha politik atau tumpang sekaki mendengar gosip orang politik. Masalahnya, tidak ramai yang tahu dan mahu menggunakan politik atau siasah tadi bagi tujuan manfaat bersama. Contoh paling mudah, sampah-sarap atau longkang tersumbat, akhirnya diadu pada Karam Singh Walia. Puncanya kerana kesalahan sendiri, akibat kurang kesedaran sivik, namun akhirnya isu yang boleh ditangani dengan kaedah sisah dan muafakat menjadi isu politik, apabila hasil hentaman Karam Singh Walia tadi, Exco, atau paling tidakpun, wakil rakyat kawasan berkenaan terpaksa turun padang. Justeru itu, politik haruslah ditafsir dan diamalkan sebagai satu siasah, bukannya usaha untuk mempopularkan agenda peribadi, bergaduh sesama sendiri, menfitnah, adu-domba atau jatuh menjatuh antara satu sama lain. Sisasah akan melahirkan kerjasama, berkat kesedaran sendiri, melahirkan muafakat, kasih sayang dan agenda bersama.. Barulah hidup menjadi aman, hati lebih tenteram dan cita-cita menggunung mahu memeluk 'demo mahu kerusi' akan ditentukan dengan mengukur baju dibadan sendiri.. Hari raya dah dekat, jadi tukang jahit baju akan menerima banyak limpahan rezeki selepas ini.