Monday, October 30, 2006

INDAHNYA PESTA BERAYA DI KAMPUNG


Buat kesekian kalinya, aku kembali ke kg. halamanku, bertemu ibu, menziarahi pusara arwah ayah, abang, tok dan tok wanku. Terasa damai, aman dan nikmat aidilfitri kali ini. Sanak-saudara berhimpun semuanya, masing-masing menjayakan tugas masing-masing, membuat kuih, mengemas rumah, membeli keperluan asas seperti beras pulut, daun palas dan daging lembu untuk dibuat gulai sebagai iringan dengan ketupat pulut. Anak-anak turut bersama, bakti dapat kutaburkan kepada anak-anak buahku yang telah kehilangan ayah mereka. Keyatiman mereka adalah amanah padaku. Aku tidak mampu menjadi pendusta agama dengan tidak menunaikan hak mereka, kerana aku antara waris mereka yang masih bernyawa. Aku bahagia kerana aidilfitri kali ini ukhwah bersama kaum keluarga lebih kuat. Kunjungan ke rumah sanak saudara dan teman-teman menambahkan lagi kemeriahan.

Rumah ibuku sendiri tak putus-putus dikunjungi tetamu, walaupun kami bukan keluarga wakil rakyat. Pada hari raya ketiga dapat pula kubawa anak-anak dan deretan anak buahku menghirup udara segar, bermandi manda dikaki gunung jerai. 'Pak Dak, seronoknya kami sebab Pak Dak baik hati' demikian getus Subha, salah seorang anak saudaraku.Betapa damai dan indahnya, dengan air terjun yang jernih, batu-batu sungai yang tersusun indah, lambaian pepohon yang menghijau, angin yang segar berhembus, sanak saudara yang ramah tamah, menjamu kami makan bihun sup yang enak. Raya keempat dipenuhi dengan aktviti memenuhi undangan rakan-rakan lama termasuk yang bergelar Dato', berpangkat Wakil Rakyat, Menteri dan Ahli Parlimen. Bukan sekadar di Kedah malah menjangkau jauh hingga ke Pulau Pinang, tersohor juga aku.

Mungkin kerana budi pekerti dan ilmuku yang buatkan diri dihormati orang. Malamnya beraya lagi, Baharom, Haji Fauzi dan Dato Saad mengajaku ke rumah Marikan, teman lama. Banyak ilmu kehidupan kepelajari, kisah suka duka politik marhein, tentang cabaran dan dugaan hidup. Raya kelima kerumah teman lama Dato Mat Lebai Sudin, balik dari situ singgah di Tanjung Musang menziarahi veteran UMNO yang dipotong kakinya. Tok Janggut, aktivis parti yang banyak jasa dan baktinya namun diabaikan.

Raya keenam aku bersiap untuk pulang ke ibu kota, kembali menghirup udara kotor, suasana kalut, hiruk pikuk hanya kerana mahu mencari nafkah untuk bekalan anak-anak dimasa hadapan. Sayu, dan rindu terus menggamit ibuku yang sudah tua, anak-anak terpaksa kutinggalkan, kenangan melihat aiman, anis dan putera-puteriku bermain anak sungai di Yan masih terasa. Kerinduan, nostalgia lama dan ratapan hatiku semasa menziarahi pusara ayah dan abang masih tergambar. Ramadhan ku tinggalkan penuh makna dan keinsafan. Aidilfitri tahun 2006 penuh kebahagiaan, banyak kenangan indah yang terakam dingatan. Kalaupun ini adalah Ramadhan dan Aidilfitri terakhirku, aku redha Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kerana aku cukup merasa bahagia dengan Eid Mubarak kali ini. Aku bahagia kerana melihat wajah ceria ibuku, aku bahagia kerana menggembirakan anak-anakku, aku senang kerana dapat berbakti kepada sanak-saudaraku. Aku benar-benar berpesta tahun ini, berpesta dengan penuh keinsafan. Demikianlah besarnya rahmat Tuhan, di hari lebaran yang entah akan bertemu atau tidak lagi di tahun hadapan.

2 comments:

Hanah said...
This comment has been removed by the author.
Hanah said...
This comment has been removed by a blog administrator.