Wednesday, November 29, 2006

DI MANA BOLEH KUTEMUI MELAYU?


Di mana boleh kutemui melayu
di pasar malam dan pasar minggu
di jalan raya merempit tak kira waktu
di Akademi Fantasi dan juara lagu'
di pub, disko khusunya malam minggu
di Jom Heboh dan Pameran Hantu
Di Sungai Buloh, Pusat Serenti dahulunya Penjara Pudu
di Lorong Gelap menjadi Kupu-Kupu
Di tempat lepak menjadi kutu,

Di mana boleh Kutemui
Melayu berjiwa Maju
Melayu berhati padu
Melayu ulat buku
Melayu rajin menimba ilmu
Melayu berkiblat pada Islam yang satu
Melayu yang tahu malu
Melayu yang menjaga maruahnya selalu
Melayu yang ikut Rasul terdahulu
Melayu yang ikhlas hati kalbu
Melayu berminda klas satu
Melayu pejuang bukan berotak kelabu
Melayu beradab jaga tingkahlaku

Thursday, November 09, 2006

BUDIMU DIKENANG JUA.


November, masih dalam kemeriahan rumah terbuka syawal, seluruh rakyat dikejutkan dengan dua berita menyayat hati. Pertama , pembunuhan kejam model dari Mongolia, Anna@Aminah. Bukan sahaja ditembak, malah seluruh anggota badannya diletupkan dengan peledak letupan C-4. Yang lebih mengundang kontroversi, kematian ini dikaitkan dengan VIP terkenal dari Malaysia, penganalisis politik yang juga penasihat kepada pembesar negara. Berita yang lebih memeranjatkan menyusul kemudiannya, pada 9 November apabila Tun Mahathir, negarawan ulung, yang dicerca, dinista oleh bangsanya sendiri setelah 22 tahun menabur bukti menggilap maruah Malaysia dimasukkan ke Institut Jantung Negara kerana diserang penyaking jantung ringan. Kesan keletihan akibat jadual beliau yang padat, dijemput, disanjungi oleh negara luar, baik dunia Islam, negara membangun mahupun dunia barat. Namun dinegaranya sendiri, ditempelak oleh pembodek yang hanya mahu menjaga tembolok sendiri. Diragui, dikeji oleh orang yang pernah diangkatnya sehingga ke jawatan menteri. Di negaranya sendiri Tun Mahathir, tokoh tersohor, dipariakan, direndah-rendahkan martabatnya oleh bangsa Melayu beragama Islam, oleh parti keramat UMNO, oleh ahli UMNO, oleh Menteri Melayu UMNO, oleh wanita UMNO dan Pemuda UMNO. UMNO yang kononya berjuang membela agama, bangsa dan negara, namun bekas Presidennya yang banyak jasa, yang sudah meletakkan UMNO pada landasan dihormati dihina begitu sekali. Barangkali disaat ini, Tun Mahathir, yang boleh dianggap sebagai pemikir moden setaraf dengan para fuqaha ulung, yang dinasihatkan berehat selama seminggu oleh barisan doktor tempatan yang berdedikasi, mungkin terus didoakan oleh pembodek UMNO agar beliau cepat mati, supaya tidak lagi dilihat menggangu kepimpinan semasa. Namun, jutaaan lagi rakyat Malaysia yang lain tanpa mengira agama, yang masih ada hati budi yang luhur, tahu mengenang budi, tahu mengenal antara kaca dan permata, terus berdoa, terus mengharapkan, bahawa dipengakhiran usia Tun, 'Perjuangan Mu Mesti Diteruskan", kerana 'Perjuanganmu Masih Belum Selesai', kerana kami rakyat Malaysia seluruhnya berpegang kepada prinsip 'BUDIMU DIKENANG JUA'.

Tuesday, November 07, 2006

PESTA SMS, DAN RENDAHNYA KEMATANGAN RAKYAT MALAYSIA


Gempar dan kelam-kabut, apabila diberitakan menerusi SMS, industri yang paling banyak mengaut keuntingan di Malaysia, apabila tersebar khabar angin kononya, lebih 1,000 orang penuntut PUO Ipoh akan dikristiankan oleh pelayar negara Dato' Azhar Mansor di gereja di Ipoh. Seingat saya, suatu ketika dahulu negara juga kacau bilau apabila tersebar berita juga melalui SMS(pada saya maksudnya Sistem Menipu Sejagat) kononya akan berlaku 13Mei kedua di Chow Kit, juga disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Saya melihat, kegilaan kepada SMS, dan corak hidup masyarakat kini sudah dibelenggu dengan SMS. Sebab itu, jemputan kenduri, ucapan selamat Hari Raya, dan bermacam jemputan dan maklumat lainnya tidak lagi menggunakan kaedah konvensional, malah SMS dilihat lebih murah, ringkas dan cepat. Namun disebalik keasyikan rakyat Malaysia ber SMS, ribuan juta untung dikaut oleh pengendali syarikat telekomunikasi negara. Berikutan keasyikan berpesta dengan SMS juga menjadi laluan mudah kepada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang menyusahkan. Khabar angin yang tidak masuk akal, bersifat menghasut dan menjejaskan ketenteraman awam. Apakah sudah menjadi lumrah sebahagian dari rakyat Malaysia, begitu kreatif untuk sering menyalahgunakan kemajuan sains dan teknologi. Misalnya, orang Jepun begitu bersusah payah memikirkan usaha membina motorsikal dan kereta, namun kreativiti rakyat Malaysia kemudiannya mengubahsuai kenderaan Jepun sehingga bunyinya mengalahkan bunyi motorbot. Betapa susahnya masyarakat barat mencipta teknologi komputer dan ICT yang lain, namun kreativiti negatif rakyat Malaysia menyebabkan ramai yang ambil kesempatan untuk berniaga secara haram atau mencuri duit penyimpan dari bank melui internet. Betapa rumitnya dunia luar mencipta kemudahan website, internet dan email. Akhirnya kreativiti rakyat Malaysia menyebabkan ruang itu digunakan untuk mengakses bahan lucah, menyebar email berantai dan melakukan super impose untuk mengaibkan individu tertentu. Inilah kelebihan dan kreativiti rakyat Malaysia yang tidak konstruktif yang perlu dibaiki untuk kita menjadi satu masyarakat yang lebih matang dan berwibawa.

Sunday, November 05, 2006

PESTA SAMBUTAN RUMAH TERBUKA SELEPAS 1 SYAWAL

Tugas kembali memanggil.Cuti panjang Syawal banyak mengajar erti keinsafan. Alhamdullilah tahun ini, aku bersyukur kerana banyak janjiku kepada Allah dapat direalitikan sempena Syawal. Namun kerinduan sama ada dapat lagi menjejak Ramadhan dan Syawal akan datang masih bermain di benak fikiran. Apa yang pasti, habisnya cuti, menandakan mood bekerja agak perlahan. Kerinduan pada kampung halaman masih terasa. Hilai tawa anak-anak dan sanak saudara masih terasa, ukhwah dan ikatan persahabatan bersama rakan-rakan jauh mahupun dekat masih terasa bahangnya. Namun yang pasti, jejak kaki ke kotaraya tempat mencari rezeki membawa satu dinamika baru. Kesibukan menghadiri rumah terbuka, kawan rakan, Wakil Rakyat, pemimpin setempat, dan tokoh konglomerat. Dalam fikiranku, betapa mewahnya rakyat Malaysia, betapa berbudinya rakyat Kita, betapa makmurnya kerana pelbagai jenis beranika makanan minuman dihidangkan. Pesta makan ini berlangsung berterusan kerana bagi Melayu di Malaysia, festival perayaan adalah sepanjang Syawal. Syawal adalah bulan membalas dendam, makan apa sahaja terhidang, menghadiri sebanyak mungkin pesta makan, sekurang-kurangnya jimat belanja, kerana bajet sudah banyak dihabiskan semasa cuti beraya dahulu. Selamat menghadiri rumah terbuka di Kuala Lumpur dan seluruh kawasan lembah Kelang dan di mana sahaja anda berada.