Gempar dan kelam-kabut, apabila diberitakan menerusi SMS, industri yang paling banyak mengaut keuntingan di Malaysia, apabila tersebar khabar angin kononya, lebih 1,000 orang penuntut PUO Ipoh akan dikristiankan oleh pelayar negara Dato' Azhar Mansor di gereja di Ipoh. Seingat saya, suatu ketika dahulu negara juga kacau bilau apabila tersebar berita juga melalui SMS(pada saya maksudnya Sistem Menipu Sejagat) kononya akan berlaku 13Mei kedua di Chow Kit, juga disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Saya melihat, kegilaan kepada SMS, dan corak hidup masyarakat kini sudah dibelenggu dengan SMS. Sebab itu, jemputan kenduri, ucapan selamat Hari Raya, dan bermacam jemputan dan maklumat lainnya tidak lagi menggunakan kaedah konvensional, malah SMS dilihat lebih murah, ringkas dan cepat. Namun disebalik keasyikan rakyat Malaysia ber SMS, ribuan juta untung dikaut oleh pengendali syarikat telekomunikasi negara. Berikutan keasyikan berpesta dengan SMS juga menjadi laluan mudah kepada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang menyusahkan. Khabar angin yang tidak masuk akal, bersifat menghasut dan menjejaskan ketenteraman awam. Apakah sudah menjadi lumrah sebahagian dari rakyat Malaysia, begitu kreatif untuk sering menyalahgunakan kemajuan sains dan teknologi. Misalnya, orang Jepun begitu bersusah payah memikirkan usaha membina motorsikal dan kereta, namun kreativiti rakyat Malaysia kemudiannya mengubahsuai kenderaan Jepun sehingga bunyinya mengalahkan bunyi motorbot. Betapa susahnya masyarakat barat mencipta teknologi komputer dan ICT yang lain, namun kreativiti negatif rakyat Malaysia menyebabkan ramai yang ambil kesempatan untuk berniaga secara haram atau mencuri duit penyimpan dari bank melui internet. Betapa rumitnya dunia luar mencipta kemudahan website, internet dan email. Akhirnya kreativiti rakyat Malaysia menyebabkan ruang itu digunakan untuk mengakses bahan lucah, menyebar email berantai dan melakukan super impose untuk mengaibkan individu tertentu. Inilah kelebihan dan kreativiti rakyat Malaysia yang tidak konstruktif yang perlu dibaiki untuk kita menjadi satu masyarakat yang lebih matang dan berwibawa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment