Wednesday, August 16, 2006

MERDEKA BERJIWA HAMBA


31 Ogos rutin tahunan laungan 'Merdeka, Merdeka, Merdeka akan kedengaran di kaca TV. Generasi kini, generasi lembik ibarat ubi, tercenganglah melihat hebatnya Almarhum Tunku mengistiharkan kemerdekaan negara. Kemerdekaan yang dikatakan diperolehi dari dulang emas British. Yang tidak didedahkan, dengan karamah insaniah, 'daulat', berkat dan izin Allah s.w.t, kemerdekaan negara ditakdirkan pada 31 Ogos 1957. Jika tidak kerana sifat keras hati Tunku menyanggah Whitehall, sudah pasti udara kemerdekaan akan hanya dapat kita hirup pada tahun 1984.

Merdeka, dari istilahnya membolehkan kita menentukan pentadbiran negara sendiri. Mengikut acuan, kehendak dan segala kawalan kekayaan negara di bawah jagaan anak tempatan. Namun, 49 tahun merdeka, Melayu sebagai peribumi tetap miskin. Melayu masih melarat, ada rumah yang seakan reban ayam masih boleh dilihat di Baling. Masih ada, anak bangsa makan nasi berlaukan garam. Kedapatan, anak bangsa yang tidak berpeluang mengenal huruf A,B dan C menerusi sistem pendidikan formal disekolah. Ada juga yang masih bermandikan air telaga, terusan dan berpelitakan lampu minyak tanah. Merdekakah jiwa kita?. Merdekakah minda kita, Au Sang Syu Ki pejuang demokrasi di Myanmar mengucapkan kata-kata hikmat ini "the real freedom, is freedom from fear'. Kita takut kepada majikan kita, takut dibuang kerja. Kita malu atau rasa segan jika tidak dapat melaram, bergaya dengan baju serba mahal semata-mata mahu menghadiri annual dinner syarikat.

Kita takut untuk menyatakan yang hak dan benar di hadapan penguasa yang zalim. Kita takutkan hantu, kita malu kalau sebagai eksekutif, kita masih menaiki kereta kancil atau rusa. Kita rasa segan apabila dikatakan tidak moden, liberal dan sofistikated. Kita tersinggung, merasa rendah diri jika gagal menguasai Bahasa Inggeris(punca yang dikatakan menjadi penyebab graduan kita masih menggangur), suatu alasan paling jahil pernah diutarakan. Kita rasa kekok kalau datang dari Kedah, Kodiang, Padang Besar atau Arau, jika gagal bercakap dalam slang Kay El. Kita takut dikatakan lemah kalau gagal menguasai IT, punyai handphone sebesar ketul bata, ataupun yang tidak berkamera. Kita malu pada segala-galanya. Sedangkan kita rasa hebat jika mampu meneguk botol arak yang paling mahal harganya. Kita rasa bangga jika menjadi kasanova yang berupaya meniduri seramai mungkin wanita. Kita juga akan merasa dihargai, jika setiap hari menerima pujian, hanya kerana kuasa yang ada bukanpun akibat kredibiliti yang dimiliki. Inilah jiwa hamba, jiwa meminta-minta, jiwa yang takutkan sesama manusia. Kita tidak takutkan Allah. Kita jadikan doa sebagai 'pelarian'. Apabila menerima nikmat kita mendabik dada itulah usaha kita, apabila menerima musibbah disalahkan takdir, dan takdirlah dikatakan penentu segala-galanya. Sepanjang hidup kita menyalahkan takdir, tidak pernah mahu menyalahkan diri sendiri. Inilah diri, rupa wajah kita yang sebenarnya, Bangsa Merdeka yang masih berjiwa hamba. Takut pada diri sendiri, takut akan kesilapan silam, tetapi tidak pernahpun khuatir untuk mengadap Allah s.w.t di HARI PENGADILAN di Mahsyar nanti. Merdekakanlah jiwa, roh dan diri anda. Bebaskanlah ketakutan sesama manusia, tunduk, rukuk dan sujudlah pada kebesaran Allah, kerana apabila dia berkata jadi maka 'JADILAH IA'. Merdeka, MERDEKA, jangan MENDERHAKA.

No comments: