Tuesday, September 19, 2006

PESTA 'BUFFET' RAMADHAN BERMULA KEMBALI


'Ramadahan is just around the corner'. Kesibukan hotel, restoran memperagakan pelbagai jenis 'buffet' hidangan kini bermula kembali. Bazar-bazar ramadhan bakal tumbuh bagaikan cendawan. Anak-anak yatim akan didekati kembali, golongan korporat akan menghiasai dada akhbar menyampaikan bantuan kepada golongan orang tua, ibu tunggal dan fakir miskin. Masjid, surau, rumah Allah akan menerima kunjungan jemaah berduyun-duyun, namun akan berkurangan apabila masuk minggu kedua Ramadhan. Demikianlah hipokrasi masyarakat Melayu Malaysia menyambut ramadhan. Bulan keberkatan, bulan pengampunan, bulan istimewa yang hanya disediakan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w, diberikan persepsi yang berbeza. Ramadhan bagi masyarakat Islam di Malaysia merupakan pesta membeli belah. Pesta dan promosi untuk menukar kepada yang baru. Dari langsir, tingkap, pakaian, perabut sehinggalah pinggan-mangkuk. Pusat-pusat hiburan sesetengahnya, berlanjutan sehingga ke sahur, kedangkalan masyarakat Melayu juga terus dipraktitkan dengan berterusannya pesta maksiat, minum arak, berpeleseran pada malam bulan Ramadhan. Sedangkan di bulan ini dibukakan pintu langit, dibukakan pintu syurga, ditutupkan pintu neraka, segala jin dan iblis dirantai, diikat. Namun akibat jin dalam diri yakni nafsu yang bermaharajalela, Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan amalan maha hebat, tinggi dan lebih besar sedekah, sifat pemurah, sifat penyayang dan kemaafan sesama insan diganti dengan pesta-pestaan. Pembaziran makanan dalam majlis berbuka puasa. Pesta memperagakan pakaian baru, jenama baru dan pesta perlumbaan ke pusat membeli belah dan pesta promosi segala jenis produk dan barangan. Demikian lunturnya kefahaman Ramadhan bagi sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia. Islam celup-celupan, hanya kerana warisan dan dilahirkan sebagai Islam. Lantas 'the truth about Islam' tidak dihayati, difahami dan akhirnya puasa kita, lapar dahaga kita menjadi sia-sia. Kembalikanlah syiar dan amalan Ramadhan yang sebenarnya, insya-Allah rakyat dan negara ini akan terus diberi rahmat dan berkat oleh Allah s.w.t.

No comments: