Bangsa Melayu umumnya beragama Islam. Malah peruntukan fasal 160 dengan jelas menyatakan Islam dan Melayu merupakan satu padanan yang berkait rapat. Dalam tasawwur ajaran islam dan budaya Melayu kita dididik dan diajar untuk menghormati golongan tua, mengenang jasa ibu bapa, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang pernah berbudi kepada kita. Namun pemodenan, perubahan nilai 'instant' telah menelan akar budaya tersebut. Jika sudah tua dan tidak lagi berkuasa, anda tidaklah lagi akan dihormati, malah dicaci dan tidak dipedulikan. Sebab itu sindrom khususnya dikalangan generasi baru Melayu menunjukkan ibu bapa sendiri dihantar untuk diasuh dan dijaga oleh rumah asuhan dan jagaan orang tua. Tidak ada upaya dari kalangan anak-anak, untuk menjaga orang tua sendiri, tidak tahu membelai perasaan orang tua yang cepat sensitif, malah orang tua dianggap sebagai satu beban atau liabliti yang hanya menyusahkan anak-anak. Bukankah dalam sirah Rasullulah s.a.w, diperlihatkan bagaimana sahabat baginda Al-qamah, di saat nazaknya, gagal untuk melafazkan kalimah shahadah hanya kerana melebihkan isteri berbanding keperluan ibunya. Malah ajaran AL-Quran secara makro meningatkan kita menerusi surah Luqman agar berbuat baik, berbakti dan berjasa kepada ibu bapa. Namun budaya instant menyebabkan ada ibu bapa yang dotendang, dibunuh, diherdik, dihalau dan yang paling mengaibkan dicerna dan diludah seolah-olah tidak pernah berbuat jasa atau melakukan satu apapun yang baik ke atas anak-anaknya. JASAMU DITENDANG, tidak lagi dikenang. Malah dalam satu hadis Rasullulah s.a.w. diingatkan salah satu tanda awal kiamat apabila 'hamba melahirkan tuannya'. Bermaksud ibu-ibu yang melahirkan anak, kemudiannya apabila anak-anak itu sudah berkahwin dan mempunyai cahayamata akan memperlakukan ibu mereka seperti orang gaji dirumah. Bukan sahaja tugas mengasuh cucu dibebankan, malah urusan rumahtangga, seperti memasak, membasuh turut terpaksa dilakukan, dan akhirnya, si ibu tadi tidakpun pernah diingat atau disebut jasanya, dan yang paling menyedihkan akhirnya apabila jatuh sakit kerana terpaksa bekerja kuat untuk mengasuh cucu-cucunya, si nenek tadi akan dihantar ke rumah orang tua-tua. Sebab itu, tanyalah diri anda, banggakan anda menjadi seorang Melayu Islam yang tidak tahu mengenang jasa, mengenang budi dan mengucapkan terima kasih di atas jasa baik orang lain terutamanya ibu bapa sendiri. Melayu dan Islamkah kita, jika konsep JASAMU DIKENANG KINI DIGANTI DENGAN JASAMU DITENDANG!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment