Wednesday, March 28, 2007

AHLI NUJUM POLITIK




Demam pilihanraya yang berlarutan, bermula dengan di Batu Talam, dituruti Machap paad 3 April nanti. Di tambah dengan teka teki pilihanraya Umum yang dijangka diadakan antara November 2007- Mac 2008 mewujudkan implikasi pelbagai. Kesan segeranya muncullah golongan pelobi, sibuklah peranan pelbagai agensi, akan berkerumunlah wakil rakyat atau ADUN sedia ada dalam majlis rasmi yang di hadiri oleh pembesar negara.

Seperkara yang menarik, dalam tempoh getir ini muncul pula sekelompok golongan yang menggelarkan diri mereka kononya sebagai penganalisa politik. Dengan sedikit pengetahuan, bacaan buku-buku politik picisan, tanpa pendidikan dan pengalaman formal sama aad secara langsung atau tidak, golongan ini ibarat ahli nujum moden. Malangnya analisa mereka itu cetek, meloyakan malah menghina kredibiliti penganalisa tulen lagi sebenar.

Inilah masalah asas apabila golongan bukan ahli dan pakar bercakap sesuatu sekadar untuk keuntungan sedikit atau kerana mahu diri mereka dikenali. Kesannya, pimpinan akan 'mislead', maklumat benar dipesongkan, langsung mempengaruhi tindakan dan gerakerja seluruh organisasi. Kegilaan penganalisis tiruan ini makin menjadi-jadi dan yang paling merbahaya apabila golongan ini dikatakan boleh mempengaruhi pucuk pimpinan dalam menentukan sama ada individu berkenaan boleh dipilih sebagai calon atau tidak. Inilah profesion bentuk baru yang diolah hasil pengalaman lama, ibarat penjual ubat di kaki lima Chow Kit, Jalan Masjid India atau Pekan Rabu, berbekalkan modal air liur, ungkapan yang hebat-hebat, slogan yang memukau mereka inilah yang akhirnya menjahanamkan tradisi ilmu, dan keluhuran bidang kajian politik.

Sunday, March 25, 2007

RASUAH DAN TUJUAN HIDUP


Katakan anda sedang memberikan satu pidato umum kepada sekumpulan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam sebuah majlis motivasi. Saya sarankan sebagai 'killer question' untuk lift up the mood tanya soalan ini "Siapa dari kalangan anda yang tidak pernah mengambil, melihat, memberi atau menerima rasuah, angkat tangan?.

Saya terlalu yakin dan percaya tidak akan ada seorangpun yang jika dibuat ukuran ikhlas, tidak menipu dirinya sendiri akan sanggup menggangkat tangan. Demikianlah penangan rasuah. Profesion tertua dalam tamadun dunia sama seperti pelacuran. Dari zaman Adam a.s. sehingga ke khatamal nabiyi, Muhammad s.a.w, manusia pilihan Allah s.w.t semuanya cuba dirasuah, digula-gulakan supaya kebenaran dan prinsip mereka goyah, lalu akan rosaklah umat yang dipimpin. Indonesia di awal kemerdekaan begitu korupsi sehingga ramai pimpinan tentera menjadi kaya raya kerana ada sebuah Bank khusus untuk tentera dimana disitulah berlakunya lubuk rasuah.


Pakistan hampir runtuh gara-gara rasuah dalam semua peringkat sepertimana yang dinukilkan oleh Tibor Mendez. Ibnu Khaldun semasa menjadi hakim pernah mahu dirasuah tetapi kerana prinsip, dan sifat amanah rela melepaskan jawatan kerana tidak mahu bersekongkol dengan dosa tersebut. Wang Ah Shih, tokoh birokrat zaman feudal China pernah berkata, punca rasuah kerana dua, 'undang-undang yang buruk dan manusia yang jahat. Kalaupun undang-undang sedia ada terbaik sekalipun, jika orang yang diamanahkan dengan jawatan berkenaan adalah orang yang jahat dan tidak layak maka tunggulah kehancuran akibat rasuah.

Rasuah berlaku di semua peringkat, rasuah adalah budaya dominan manusia yang mahu hidup mewah diluar kemampuan dan pendapatannya. Rasuah adalah jalan mudah menuju kekayaan tanpa perlu bersusah payah. Tetapi kesannya bakal menimbulkan implikasi yang pelbagai kepada keluarga, individu, pegangan agama, nilai moral dan kesejahteraan negara. Rasuah itu dosa, rasuah hukumnya haram, rasuah yang paling merbahaya bukan terbatas pada rasuah wang, tetapi rasuah moral, rasuah ilmu dan rasuah agama. BANGSA BENCI RASUAH, harus menjadi tagline dan pegangan semua komuniti supaya gejala ini boleh diperangi dan dibanteras di peringkat atasan hingga ke akar umbi.


Tuesday, March 13, 2007

ALLAH S.W.T TEMPATKU MENGADU


Tiada saat yang lebih mengharukan selain apabila tibanya waktu solat. Solat bukan sekadar ibadah ritual yang sekadar dilakukan tanpa tujuan. Bermula dari berwuduhuk, sehingalah ke tahayatul akhir semuanya mempunyai pengertian dan makna sendiri. Tidak hairanlah solat adalah tiang agama.Mendirikannya bererti membangunkan agama, meninggalkan bererti meruntuhkan agama. Solat memberi ruang untuk kita bermunajat dan berkata-kata dengan sang Maha Pencipta,. Al-Khaliq, Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Sedekat-dekat hamba dengan penciptanya adalah semasa sujud, dikatakan inilah saat paling afdal untuk memanjatkan segala doa dan keinginan.

Solat yang dipelihara membolehkan kita dipelihara dan dilindungi dimasyar nanti, dan solat yang diabaikan menyebabkan kita tidak dipedulikan di Akhirat nanti. Sesunguhnya amalan yang mula-mula sekali dihitung adalah solat. Sempurna amalan solat maka akan sempurnalah amalan yang lain. solat juga menjadi pendiding dari segala musibbah dan mara bahaya. Malah solat juga menjadi benteng kukuh dari kita melakukan perkara mungkar dan berbuat dosa. Jika sekiranya dosa dilakukan juga bermakna solat kita belum sempurna, namun yang lebih penting di dalam solatlah kita mengadu segala perihal diri yang tidak mungkin termampu diatasi oleh diri sendiri atau dengan bantuan orang lain. Hanya kepadamu aku menyembah dan hanya kepadamu aku memohon pertolongan Ya Allah. Amin

Wednesday, March 07, 2007

SKIL KEIBUBAPAAN

Adakah kita sudah merasa, kita telah menjadi seorang ayah yang baik. Semalam dalam kesibukanku menyelesaikan tugas rasmi, tiba-tiba anak lelakiku, menelefon memaklumkan yang dia dilantik menjadi seorang pengawas sekolah. Inilah anak-anak, berita gembira yang diperolehinya, akan dimaklumkan pada ibu atau ayah, orang terdekat mereka. Isunya apakah kita mampu menjadi pendengar yang baik, apakah tindakan lanjut untuk menghargai pencapaian anak-anak, bagaimana komunikasi kita dengan mereka, berepa lama masa diperuntukkan untuk mendengar keluhan, rintihan dan masalah mereka.

Justeru itulah pada pengamatan aku, PLKN sepatutnya untuk ibu bapa dengan diiringi anak-anak remaja mereka, bukan khusus untuk anak remaja mereka, Kenapa tanggungjawab membangun jatidiri, sahsiah atau moral dan kepereibadian anak-anak harus diserahkan pada pihak lain, sama ada kerajaan, orang gaji atau pembantu rumah.? Sabda Rasullululah s.a.w, "setiap bayi yang dilahirkan adalah suci daripada dosa(berada dalam keadaan fitrah). Terpulanglah kepada kedua ibu bapa nya sama ada untuk menjadikannya seorang Yahudi, Majusi atau Nasrani".Maka dalam hal ini, fahamlah aku, masih banyak soal skil keibubapaan yang perlu aku pelajari, telusuri dan fahami agar generasi anak-anaku bakal membesar menjadi insan berjiwa merdeka, punyai intelektualisme yang tinggi, menghormati adab budaya , patuh pada ajaran agama dan menjadi insan serta warga berguna.