Sunday, March 25, 2007

RASUAH DAN TUJUAN HIDUP


Katakan anda sedang memberikan satu pidato umum kepada sekumpulan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam sebuah majlis motivasi. Saya sarankan sebagai 'killer question' untuk lift up the mood tanya soalan ini "Siapa dari kalangan anda yang tidak pernah mengambil, melihat, memberi atau menerima rasuah, angkat tangan?.

Saya terlalu yakin dan percaya tidak akan ada seorangpun yang jika dibuat ukuran ikhlas, tidak menipu dirinya sendiri akan sanggup menggangkat tangan. Demikianlah penangan rasuah. Profesion tertua dalam tamadun dunia sama seperti pelacuran. Dari zaman Adam a.s. sehingga ke khatamal nabiyi, Muhammad s.a.w, manusia pilihan Allah s.w.t semuanya cuba dirasuah, digula-gulakan supaya kebenaran dan prinsip mereka goyah, lalu akan rosaklah umat yang dipimpin. Indonesia di awal kemerdekaan begitu korupsi sehingga ramai pimpinan tentera menjadi kaya raya kerana ada sebuah Bank khusus untuk tentera dimana disitulah berlakunya lubuk rasuah.


Pakistan hampir runtuh gara-gara rasuah dalam semua peringkat sepertimana yang dinukilkan oleh Tibor Mendez. Ibnu Khaldun semasa menjadi hakim pernah mahu dirasuah tetapi kerana prinsip, dan sifat amanah rela melepaskan jawatan kerana tidak mahu bersekongkol dengan dosa tersebut. Wang Ah Shih, tokoh birokrat zaman feudal China pernah berkata, punca rasuah kerana dua, 'undang-undang yang buruk dan manusia yang jahat. Kalaupun undang-undang sedia ada terbaik sekalipun, jika orang yang diamanahkan dengan jawatan berkenaan adalah orang yang jahat dan tidak layak maka tunggulah kehancuran akibat rasuah.

Rasuah berlaku di semua peringkat, rasuah adalah budaya dominan manusia yang mahu hidup mewah diluar kemampuan dan pendapatannya. Rasuah adalah jalan mudah menuju kekayaan tanpa perlu bersusah payah. Tetapi kesannya bakal menimbulkan implikasi yang pelbagai kepada keluarga, individu, pegangan agama, nilai moral dan kesejahteraan negara. Rasuah itu dosa, rasuah hukumnya haram, rasuah yang paling merbahaya bukan terbatas pada rasuah wang, tetapi rasuah moral, rasuah ilmu dan rasuah agama. BANGSA BENCI RASUAH, harus menjadi tagline dan pegangan semua komuniti supaya gejala ini boleh diperangi dan dibanteras di peringkat atasan hingga ke akar umbi.


No comments: