Monday, April 02, 2007

DILEMA TAK BERKESUDAHAN

Sampai bila isu tentang nasib Melayu akan diperkatakan?. Berapa lama lagi signifikan parti politik seperti UMNO, MCA, MIC, DAP, GERAKAN, PAS, PKR dalam percaturan politik Malaysia?. Apakah akan sampai satu ketika di mana rakyat Malaysia tidak perlukan lagi parti politik sebagai wahana untuk mereka menyatakan aspirasi dan kehendak mereka?. Akan tibakah satu hari nanti, isu-isu politik tidak lagi diminati, sebaliknya yang ditumpu adalah soal kemasyarakatan, pembelaan golongan kurang bernasib baik, usaha hidup bermasyarakat secara muafakat. Akan tibakah nanti di mana garis perkauman, batas agama tidak lagi menjadi isu sensitif yang dibicara bualkan?.
Apakah akan sampai satu tahap di mana rakyat Malaysia berdikari, kuat jatidiri, berdisplin, patuh pada janji, peraturan dan bekerja kuat untuk diri, keluarga dan negaranya?. Akan tibakah satu saat di mana masyarakat tidak lagi perlu ketakutan menghadapi ancaman Mat rempit, penjenayah, perogol, kaki pukau, dan skim cepat kaya?. Adakah akan sampai satu masa di mana masyarakat Malaysia berbilang kaum tidak lagi akan ada prasangka, satu sama lain. Masing-masing mengamalkan satu budaya dan bahasa. Akan adakah nanti lahirnya satu masyarakat Malaysia yang ikhlas, tidak pentingkan diri, tidak berhasad dengki, saling bantu-membantu antara satu sama lain?.
Apakah akan tiba suatu ketika di mana Malaysia mendapat pemimpin, pegawai kerajaan dan birokrasi serta CEO GLC atau syarikat swasta yang beramanah, beriman, kuat pegangan agama, manis tutur katanya, baik akhlaknya, tidak rasuah dan simpati kepada nasib bangsanya. Tidak pula menggadai maruah negara dan rakyatnya dan hidup serba sederhana?. Tercapaikan impianku ini, selagi ada hayat untuk melihat semua itu berlaku?. Rupanya aku mengelamum, rupanya negaraku akan lebih bercelaru, aku mohon padamu Ya Allah selamatkanlah negaraku, selamatkanlah anak bangsaku, selamatkanlah anak-anaku dan kaum keluargaku, pelihara dan terus berkatilah negara ini. Amin Ya Rabbul A'lamin.

No comments: