Thursday, June 21, 2007

TEKA-TEKI TARIKH PILIHANRAYA

Telahan paling popular kebelakangan ini adalah tarikh Pilihanraya?. Bilakah bakal diadakan?. Umumnya ramai menyatakan tarikh antara November 2007 dan Mac 2008 sebagai tarikh terbaik.
Kenapa pilihanraya umum di Malaysia menjadi bualan dan topik paling popular?.
Semenjak Merdeka, sudah 11 kali Pilihanraya Umum di adakan. Pilihanraya juga menjadikan SPR sebagai badan yang sentiasa menjadi mangsa kritikan, sedangkan kuasa SPR kesemuanya ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, secara jelas dalam Artikel 118 dan Artikel 119. Kuasa minimun SPR hanyalah berkaitan pengendalian penamaan calon, hari pengundian, pengiraan undi dan pengumuman kemenangan. Inilah yang tidak difahami oleh ramai ahli dan pimpinan politik yang berjumlah 35 buah parti di Malaysia(Gabungan BN 14 komponen parti),. Apapun keputusannya, pilihanraya kali ini menjanjikan sesuatu yang menarik. Mampukah pakatan pembangkang menambahkan kerusi di Parlimen di DUN?. Dapatkan DAP menguasai Pulau Pinang, dan Kelantan dipertahankan PAS?.
Apa yang pasti, dan jaminan yang hakiki legasi BN sebagai kerajaan memerintah akan terus bersambungan selepas Pilihanraya Umum ke 12 sama ada di adakan pada November 2007 ataupun Mac 2008.

Tuesday, June 19, 2007

JENAYAH DAN KRISIS MORAL: APA MAKNANYA?

Apabila terlihat perlakuan cabul ke atas pelajar perempuan oleh anak-anak yang beruniform sekolah, saya lantas berpesepsi, apakah ini satu lagi mercu tanda kemajuan? Bagaimana dengan transaksi seks yang boleh diperolehi secara terbuka dibeberapa buah bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Georgetown malah menganjur ke pekan-pekan kecil seluruh negara?. Bagaimana pula dengan jenayah indeks yang di Kuala Lumpur sahaja mencatatkan peningkatan 42% sepanjang tempoh 6 bulan pertama 2007. Apa pula pandangan anda apabila mendapati kegilaan meminum air daun ketum sudah merebak ke sekolah-sekolah di Kedah dan negeri-negeri utara. Tidak terhitung lagi kebejatan moral akibat perlakuan Mat Rempit dengan pelbagai aksi Gemilang mereka yang mengharu birukan masyarakat?.
Bagaimana pula dengan gejala pembunuhan kejam, ala KGB dan Mossad atau menyamai ceritera di Hollywood, sehingakan mangsa dirogol, dibakar dan ada yang diletupkan?. Selamat dan sejahterakah bumi Malaysia?. Kenapa tahap kes rompakan mencuri sampai pada tahap kedai menjual pre-paid pun dicerobohi. Jika dahulunya kecurian dalam pengertian umum hanya melibatkan ;premis kedai mas ataupun bank.
Apa sebenarnya yang boleh kita cerap dari segala fenomena yang galak berlaku di negara kita ini.? Petanda tamadun ini makin hancur, kemodenan yang tidak terencana, bala dari Allah s.w.t, jurang ekonomi yang makin melebar atau masyarakat Malasyia sendiri yang sudah terlencong adab budaya serta pekerti moralnya?. Sama-samalah kita merenung dan berfikir serta mencari pendekatan dan tindakan sesuai dengan menyelamatkan anak bangsa dan negara ini. Sejahtera Malaysia!

Monday, June 04, 2007

POLITIK IMBUHAN DAN KEUNGGULAN BN


DEB,(strategi politik imbuhan dan pembangunan) dalam apa jua keadaan sekalipun yang telah dilancarkan pada tahun 1970, haruslah dilihat sebagai mekanisme yang telah membantu melonjakkan mobiliti sosial bangsa Melayu sebagai golongan klas menengah yang baru. Disamping turut memanfaatkan bukan Melayu dan rakyat Malaysia umumnya dalam pelbagai bidang.
Sebab itu, dominasi BN sepanjang sejarah bermula Pilihanraya MPP 1955, membawa kepada Pilihanraya Umum pertama 1959 hinggalah penguasaanya dalam PRU ke-11 2004, ada kaitan dengan tiga faktor:
a) Keupayaan memberi dan menyediakan 'basic neccesity of life' yang diperlukan oleh masyarakat, dalam bentuk jaminan pekerjaan, kediaman, keselamatan dan kehendak asas hasil sumber modal yang banyak dimilikinya.
b) Kemampuan bersikap pragmatik, bukannya dogmatik untuk menyelaras kehendak masyarakat berbilang kaum. Dalam politik diterjemahkan konsep muafakat dan politik kongsi kuasa, dalam ekonomi adanya kesalingan antara pimpinan politik Melayu dan pengusaha bukan Melayu.
c). Kelebihan dari sudut memahami, mengerti apa makna politik sebenarnya. Sebab itu segala daya upaya usaha BN adalah bertujuan untuk mempertingkat, mengekal dan mendapatkan kuasa politik dengan apa juga cara. Ini berbanding dengan parti pembangkang misalnya PAS yang lebih mirip badan dakwah, DAP lebih terarah sebagai badan sosial, dan PKR lebih terhadap gerakan masa.
d) BN mengerti dan tahu apa yang dimahukan rakyat, bagaimana mahu membelai perasaan pengundi, apa kaedah untuk menanam ketaatan pengundi kepada mereka, bagaimana strategi terbaik untuk mengikat dan meningkatkan sokongan pengundi kepada mereka, sebaliknya pembangkang lebih gemar mencari kesalahan pihak lain untuk menutup kegagalan mereka mendekati dan meraih sokongan pengundi.
Atas terma dan prinsip-prinsip asas ini .politik imbuhan' 'politik pembangunan' sekali lagi akan menjadi senjata yang bakal membuktikan penguasaan dan keunggulan BN dalam PRU ke-12 nanti.