Wednesday, January 24, 2007

AMANAT SEORANG AYAH


Anak-anakku, puteri dan puteraku, Nur Adani dan Muhammad Haziq Sobri,

Ayah telah melalui sejarah dan pengalaman hidup yang panjang. Rentetan perjuangan ayah dipenuhi dengan kata nista, cemburu buta, dan khianat keji dari orang. Ayah tetap bersabar, istiqamah, kerana landasan hidup ayah dahulunya adalah kemiskinan. Kemiskinan menjadikan ayah cekal, tabah dan kuat. Kemiskinan adalah guru kehidupan abadi ayah.

Ayah tetap lalui hari-hari mendatang dengan prinsip hidup yang mulia. Jiwa dan maruah ayah tetap merdeka, tidak mudah tunduk pada ugutan, hamburan pangkat dan kemewahan. Pegangan Ayah adalah Al-Quran dan Sunnah Rasullulah s.a.w. Teman setia ayah adalah buku-buku pengetahuan. Amalan ayah adalah zikrullah yang beterusan. Hati budi ayah pada nilai keinsanan. Ayah dilahir untuk berkorban, menjadi lilin membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain. Ayah pernah diperangkap dengan tuduhan palsu, diperdaya dengan janji politik yang manis, dipuja dengan slogan yang melalaikan, namun alhamdullilah ayah cepat sedar.

Ayah terus bersabar, ayah terus berjuang kerana jiwa ayah adalah pejuang dan patriot sejati. Kecerdikan ayah dimanipulasikan, kebaikan hati ayah dipergunakan, kesabaran jiwa raga ayah dieksploitasikan, namun rencah hidup ini tidak pernah membuatkan ayah lemah. Semangat ayah makin kental, iltizam ayah makin membara, pegangan ayah makin kukuh, tidak bisa runtuh walau siapa jua yang merempuh.

Putera dan puteriku,

Ingatlah kasih ayah sepanjang masa, kasih ayah berkorban nyawa, patah sayap bertongkat paruh, namun terbang ayah gagahkan terbang jua, membawa anak-anak ayah ke mercu dan gerbang kejayaan.

Ayah mungkin tertinggal dalam melihat kedewasan anak-anak ayah. Ayah juga mungkin tertingal amanah sebenar ayah, disinilah kesilapan besar ayah. Inilah ujian maha hebat untuk ayah, diuji terus diuji sebagai persediaan bagi diri ayah untuk menghadapi hari dugaan yang lebih hebat.

Ingatlah anak-anak ayah,

dihadapan Multazam dan taman syurga nan indah di Raudhah, dengan penuh keinsafan ayah memohon agar anak-anak ayah berjaya , dilindungi dari segala musibbah dan ujian yang sukar sepertimana yang pernah ditempuhi oleh ayah. Cubaan yang tidak berkesudahan, namun prinsip ayah 'membujur lalu melintang patah'.

Ingatlah anak-anak ayah,

Pegangan dan kiblat kita hanya satu. ALLAH s.w.t Tuhan kita yang satu, Muhammad s.a.w, Penghulu yang kita rindu, Muslimin dan Muslimat saudara kita yang berpadu. Asal kita adalah dari Adam dan Hawa, kejadian kita dengan izin dan rahmat Allah jua. Hormati guru, jaga dan sentiasalah berdoa untuk arwah bonda kamu. Dia kasih ayah pertama dan terakhir, dia teman ayah yang sejati, dialah tempat curahan hati ayah yang pilu. Dia jugalah, teman karib, bersama dalam susah dan senang. Kami berdua ditakdirkan bertemu, bersama dan akhirnya berpisah.

Ayah rindukan keluarga ayah, kalau diberi ruang seprtimana doa yang pernah ayah lafazkan, ayah ingin kita kembali bersatu. Kita cukup bahagia seketika dahulu. Rumah kita adalah syurga nan indah, gelak tawa anak-anak adalah pengubat duka. Pelerai jiwa nan lara. Ayah tidak pernah menipu, ayah seringkali ditipu, ingatlah anak-anak ayah, keluhuran hati ayah tiada tandingannya, pengorbanan ayah adalah segalanya, demi nyawa dan badan yang satu ini sanggup ayah taruhkan asalkan anak-anak ayah bahagia, selamat dunia dan akhirat.

Ingatlah anak-anak ayah,

Puteriku Nur Adani, dirimu bakal menjadi seorang cendekiawan terpuji. Puteraku Muhammad Haziq, ketulusan hati budimu bakal meletakkanmu sebagai pemimpin ummah yang teruji. Tidak ada apa yang mampu ayah tinggalkan selain catatan ilmu, karya tulisan yang tidak pernah jemu, kerana ayah dilahirkan sebagai penulis, budaya ayah disuburkan oleh kalimat 'Iqra' dan minat serta perjuangan ayah adalah 'ilmu pengetahuan'.

Dengan ilmu kita dihormati, dengan ilmu kita disanjungi, dengan ilmu kita juga dicemburui, dengan ilmu kita mudah bersosialisasi, melalui ilmu kita mengenal kebenaran hakiki. Ingatlah pesan terakhir ini wahai anak-anak, putera-puteri kesayanganku. Ayah tetap bersama kamu, kita akan kembali bersatu sebagai sebuah keluarga bahagia, jikapun tidak di dunia, diakhirat kita bersua jua.

KETENANGAN DAN DAMAI DIHATI


Kemuncak dari nikmat hidup yang ingin dirasai oleh setiap insan adalah ketenangan dan kedamaian hati. Sebab itu di dalam kitab Suci Al-Quran dijelaskan oleh Allah s.w.t 'hanya dengan mengingatiku(Allah s.w.t) dengan zikrullah hati-hati menjadi tenang. Begitu juga diperihalkan betapa damai dan tenangnya jiwa individu Muslim apabila memasuki Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Secara lojik mantiknya apakah punca untuk mendapatkan jiwa yang tenang?. Bagi golongan modenis, free thinker, ketenangan dan damai abadi bagi mereka apabila diri berada dalam keadaan separuh sedar. Dihipnosiskan sama ada melalui pengaruh alkohol, dadah, muzik atau seks bebas. Ketenangan bagi orang kaya, adalah apabila wangnya bertambah, ketenangan bagi seorang penjaja apabila hasil jualan hariannya menguntungkan, ketenangan bagi seorang 'ayah' apabila melihat anak-anaknya berjaya dan selamat dalam kehidupan. Ketenangan dan kebahagian seorang guru dan pensyarah apabila melihat kejayaan anak didiknya. Namun ada juga manusia yang bahagia dan tenang apabila melihat orang lain gagal, jatuh, ditimpa kesusahan. Ada juga orang atau kumpulan manusia yang hatinya cukup gembira dan merasa damai apabila berupaya menjatuhkan orang lain, mengaibkan maruah individu lain dan meruntuhkan rumah tangga orang lain.

Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Namun hakikat ketenangan hakiki, adalah apabila kita merasa lazat dan nikmat dalam melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. Ketenangan dan damai abadi hadir apabila kita sentiasa bercakap benar, tidak bermusuh sesama manusia, tidak menyakiti insan dan makhluk yang lain. Ketenangan jiwa dan raga apabila hati dan minda kita merdeka, apabila diri sentiasa ingat dan kasih pada Nabi s.a.w, sentiasa menginsafi dosa dan kesilapan lalu, kurang melakukan perkara yang merosakkan sentimen dan perasaan orang lain. Tidak lalai dalam tugas, tidak membuat perkara-perkara keji dan kerosakan di mukabumi, tidak mencuri dan menafikan hak orang lain. Tidak juga menindas dan menzalimi hak orang dan makluk lain semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Inilah damai abadi sebenar apabila kita terlalu rindukan kematian.

Tatkala hati-hati kita sayu dan menangis mendengar ayat-ayat suci Allah s.w.t. Apabila jiwa kita seolah-olah dekat dengan Rasullulah s.a.w dalam mengimbas susah payah baginda beserta sahabat yang mulia r.a, menyabung nyawa, berkorban harta dan benda demi menegakkan syiar dan syariat Islam. Inilah Damai Abadi sebenarnya, inilah ketenangan hakiki dan inilah hakikat keinsanan hati manusia yang murni lagi suci. Dapatkan kutemui damai dan ketenangan yang kucari?...

Tuesday, January 23, 2007

PENULIS, MENULIS DAN TERTULIS


Penulis adalah termasuk dalam kategori seniman. Mereka punyai jiwa yang sensitif, deria rasa yang tinggi, gaya bahasa yang memukau, pemikiran yang holistik selain sosialisasi yang tinggi. Penulis merakamkan kejadian, peristiwa, cetusan hati nuraninya, kisah silam, suka duka, pahit getir yang ditempuhi.

Penulis dianugerahkan bakat istimewa dari Allah s.w.t untuk menyatakan aspirasi, kehendak dan menukilkan realiti sosio-politik masyarakat. Penulis menulis untuk melapor, menyelidiki, mengusulkan penyelesaian, membentangkan kebenaran, mencungkil kebenaran. Ada pelbagai motif bagi penulis bergantung pada niat dan cara tindakannya. Ada yang menulis kerana minat, ada yang menulis kerana diupah. Golongan ini dipanggil 'ghost writer'. Ada juga yang menulis kerana mahu menyatakan sesuatu, meyedarkan orang lain, menindoktrinasikan pemikiran manusia seperti tulisan Hitler dalam Mein Kamp dan Karl Marx dalam karya agungnya 'Communist Manifesto'.

Ada yang menulis kerana mengharapkan upah, ganjaran, pangkat dan imbuhan. Ada yang menulis kerana tugas sebagai penulis, Ada yang menulis akibat tuntutan syarat, dan kehendak sistem misalnya pelajar Ph.D dan sarjana. Ada yang menulis untuk ditinggalkan rakaman kenangannya pada waris. Ada pula menulis kerana kecewa, respon kepada persekitaran yang tidak memihak kepadanya. Walau apa jua motif segalanya ditentukan oleh niat, misi dan penakulan yang dibuat. Namun satu hakikat, tidak semua layak digelar penulis, meskipun ramai yang boleh menulis. Penulis memerlukan bakat semulajadi, pengalaman luas, latihan berterusan dan jika sudah tertulis bahawa kita akan diangkat sebagai penulis tersohor, pengkarya hebat, maka apa yang kita tulis akan dihargai, dihormati dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Apa yang penting , masyarakat beroleh manfaat dari apa yang ditulis oleh seorang penulis.

Monday, January 22, 2007

Ph.D

Akronim kepada Philosophy Doctor. Ijazah tertinggi dalam sistem pembelajaran diperingkat tertiary. Setelah melalui ijazah pertama, sarjana, maka tempoh 3-5 tahun adalah satu jangka masa yang cukup lama bagi seseorang calon ijazah Doktor Falsafah menamatkan kajiannya berhubung subjek yang dikaji. Insya-Allah jika tidak ada aral melintang Mei 2007 akan menyaksikan aku kembali kegelanggang penyelidikan ilmiah untuk menghasilkan satu lagi tajuk kajian Ph.D, yang diharap mampu meleraikan beberapa isu dan persoalan khususnya berkaitan dengan masa depan politik negara. Ilmu adalah kuasa, dan kuasa itu adalah ilmu:

"Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap lelaki dan wanita Muslim"(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Thursday, January 18, 2007

MENIPU, BERBOHONG:TRADISI, KEBIASAAN ATAU SATU PEMBUDAYAAN?



50 tahun merdeka, masih merupakan satu tempoh singkat dalam usaha membangunkan sebuah komuniti politik yang matang. Justeru itu tren, penipuan, elemen propaganda melampau, aksi lakonan yang dibuat-buat, konspirasi, jatuh-menjatuh, fitnah-menfitnah, surat layang, khabar angin dan spekulasi yang direncana dalam pelbagai cara, sudah menjadi semacam satu kemestian dalam budaya organisasi, politik, mahupun hubungan dalam institusi keluarga .

Ada istilah bohong sunat, wajib bohong kerana terpaksa, menipu kerana mahu hidup dan sebagainya. Hakikatnya, niat tidak boleh menghalalkan cara. Penipuan tetap satu penipuan, suatu kepincangan moral dan jenayah akhlak yang boleh memusnahkan sistem sosial masyarakat. Seorang pemimpin yang berhemah dan berintegriti akan sentiasa memegang pada janjinya. Mentuntaskan segala aspirasi rakyat, sama ada yang diikrarkan dalam kempen pilihanraya mahupun dalam penyataan dasar-dasar pembangunan.

Seorang anak, harus akur bahawa menipu ibu bapa adalah satu kezaliman yang nyata, yang pada akhirnya akan menjerumuskan si anak kelembah kehancuran. Seorang pekeja yang seringkali mengambil sijil sakit walaupun sebenarnya tidak sakit dianggap sebagai melakukan kecurangan amanah, kerana gaji yang diperolehinya tentulah hasil haram yang tidak ada barakahnya. Pelajar universiti yang mempalagiat esei senior juga melakukan satu kemunafikan tindakan, kerana gred A yang jikapun diperolehi tentulah satu penyelewengan etika, jika dibiarkan berterusan maka graduan tadi akan menjadikannya satu pembudayaan dengan melakukan rasuah mahupun salahguna kuasa apabila berjawatan tinggi satu hari nanti.

Demikianlah adanya,

Menipu, berbohong sudah menjadi resam, makanan lazat bagi setiap insan. Ada yang menipu sebagai satu kerjaya mahupun profesion misalnya golongan yang dikenali sebagai broker. Sama ada broker politik, broker tanah, atau broker saham. Ada juga yang menipu dengan gaya yang penuh profesional, berselindung disebalik imej tertentu yang dilihat hebat,anggun dan berhemah namun sebaliknya punyai maksud dan agenda tersendiri.

Ada yang mempunyai kemahiran khusus, seni dan kepakaran tersendiri apabila melakukan kerja-kerja menipu ini. Persoalannya, apakah kerja menipu sudah menjadi satu tradisi yang diwarisi? Apakah sudah menjalar membentuk satu budaya dominan dalam kerangka hidup masyarakat?, ataupun menipu merupakan lumrah yang tidak boleh dielakkan untuk tujuan hidup?. Apapun hakikatnya menipu, berbohog adalah satu dosa. Menipu dan berbohong merupakan kecurangan moral yang punyai kesan yang panjang. Menipu dan berbohong juga bakal merosakkan pemikiran umat, meruntuh serta menghakis maruah serta wibawa masyarakat selain mampu mendorong kacau bilau dalam kehidupan.

Wednesday, January 17, 2007

MASJID:FUNGSI DAN PERANAN


Dari Anas bin Malik r.a., bahawasanya Rasullullah s.a.w bersabda, "Tidak berlaku hari kiamat, sehingga umat ku bermegah-megah dengan binaan masjid"(Hadis Riwayat Abu Daud).

Masjid adalah rumah Allah s.w.t. Mengimarahkan masjid, adalah ibadah. Di masjid dengan amalan sembahyang berjemaah, darjat pahalanya diangkat 27 kali ganda berbanding solat secara individu.


Masjid, adalah medium untuk mensucikan diri, tempat tarbiyah terbaik, latihan jiwa, untuk tujuan zikir bagi mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Di zaman Rasullullah s.a.w, masjid bukan sekadar tempat para sahabat berkumpul berjemaah. Masjid adalah pusat pentadbiran, pusat sosialisasi masyarakat, pusat kegiatan ekonomi, muamalat, pusat kaunseling, tempat terbaik untuk mempupuk ukhwah dan semangat ummah bagi melahirkan esprit de corps. Masjid pada zaman awal era Islam hanyalah berbumbungkan pelepah tamar, dibina pada kadar yang paling asas, tetapi pengisiannya hebat.


Jiwa pejuang seperti Ali Abi Thalib, Umar Al-Khattab, Ubaidah Al-Jarrah, Saad Abi Waqas dilahirkan di Masjid. Bezanya kini, masjid begitu hebat, tersergam indah, ribuan masjid didirikan, hiasan dalamannya dengan permaidani. sistem audio begitu hebat, tetapi azan yang dikumandangkan oleh muazin gagal menyaingi kehebatan, kelunakan suara original penghuni syurga Bilal Rabaah. Masjid era moden seolah-olah binaan ritual, dikunjungi sekali sekala, oleh golongan pencen dan sudah berusia. Diimarahkan dengan begitu hebat pada minggu pertama awal Ramadhan, dilauti apabila sembahyang sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
Masjid juga sudah menjadi tempat bertekak untuk menyatakan siapa lebih Islam, sehingga persoalan dua imam timbul. Masjid sepi, dikunci setelah selesai sembahyang fardhu. Masjid kurang berdaya saing dalam menganjurkan aktiviti setempat, apa tidaknya, imam sendiri tinggal di mukim atau daerah lain, kadangkala hanya menjadi imam de facto, sedangkan beliau sendiri gagal hadir untuk mengimamkan sembahyang fardhu berjemaah. Kembalikan kehebatan peranan dan institusi masjid, agar watak-watak hebat, pejuang Islam sebenar muncul hasil tarbiyah, asuhan dan didikan dari institusi masjid ini.

Tuesday, January 16, 2007

HARTA DAN RIBA


Daripada Abu Hurairah r.a., Rasullullah s.a.w. bersabda "Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan lagi dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau haram" (Hadis Riwayat Nasaai).

Daripada Abu Hurairah r.a,, berkata Rasullulah s.a.w bersabda "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun terkecuali dari terlibat dalam memakan harta riba. Kalaupun ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya"(Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Justeru itu fikirkanlah, harta , kekayaan, wang ringgit hanyalah alat perantaran untuk memudahkan kehidupan, bukannya matlamat. Harta , wang ringgit dan kekayaan perlulah diperolehi secara yang halal, bukan dengan jalan menipu, rasuah dan riba. Harta kekayaan sepatutnya digunakan untuk membantu memperkembangkan syiar dan syariat agama sepertimana suri teladan yang ditunjukkan oleh jutawan Islam Saidina Uthman Ibni Affan r.a. dan Abdul Rahman ibni Auf. Harta kekayaan wajar dibelanjakan untuk fakir miskin, kaum keluarga, anak yatim, dikeluarkan zakat, sedekah dan amal jariah bukannya untuk tujuan bermegah-megah.

Harta kekayaan, wang ringgit untuk membolehkan kita mencukupkan keperluan hidup agar dengannya kita tidak punyai alasan atau berasa tertekan sehingga tidak mahu mengingati dan beribadat kepada Allah s.w.t. Sebab itu umat Islam tidak boleh miskin, sebab itu Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat, Allah s.w.t amat membenci orang yang malas bekerja. Namun dalam usaha bekerja kuat, berusaha jangan sampai menipu, mengambil hak orang lain dan memperdaya rakan, sahabat handai dan taulan.

Tassawur Islam cukup murni dan Indah. Islam bertujuan mendisplinkan perilaku kita mengharmonikan hidup kita, biar seimbang, jangan dicari kekayaan sehingga lalai kepada Allah s.w.t, dibolehkan mencari sebanyak mungkin, namun dalam masa yang sama jangan lupa hak dari sebahagian harta berkenaan yang wajib dikhususkan untuk nafkah keluarga, sanak saudara, anak yatim, golongan miskin dan zakat serta sedekah. Inilah kehebatan Islam, inilah teladan terbaik yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. "Sesungguhnya engkau(yakni Muhammad) mempunyai akhlak yang sungguh mulia.

Justeru itu marilah kita jauhkan riba, rasuah dan janganlah kita menggunakan kuasa atau kesempatan yang ada pada diri untuk memunggah kekayaan negara dengan cara yang salah dan tidak beretika.

Wednesday, January 10, 2007

RAHSIA TIDUR...


Allah s.w.t dengan segala kebijaksanaanya telah menciptakan setiap benda ada pasangannya. Demikianlah ditegaskan malam adalah pakaian bagi siang. Waktu malam dijadikan untuk manusia beristirehat, tidur disamping tidak lupa bangun mengingatinya melalui solat tahajud, hajat dan solat sunat taubat. Demikianlah juga fitrah dan tabieenya kenapa, sehari semalam punyai 24 jam. Islam amat menekankan soal 'time management', ketepatan masa, janji dan pengurusan diri. 24 jam bererti, 8 jam bekerja mencari rezeki, 8 jam lagi beribadat dan 8 jam untuk berehat(tidur).

Tidur yang nyenyak adalah lebih baik tidur yang cukup. Jika terlebih tidur menandakan orang itu malas, fikirannya lekas jumud dan otaknya bakal membeku. Sebab itu dalam perspektif Islam, tidak digalakkan tidur waktu petang khususnya selepas Asar sehingga ke MAGHRIB kerana ada bukti saintifik individu yang mengamalkan tabiat tersebut boleh cepat nyanyuk. Ada pelbagai kategori tidur, tidur ayam, tidur mati, tak boleh tidur disebut dalam istilah perubatannya 'imsomnia'. Tak cukup tidur menjadikan fokus kita terganggu, dan badan menjadi cepat letih.

Terlebih tidur menyebabkan kita berkecenderungan untuk menjadi semalas-malas manusia. menjadikan tidur sebagai satu tabiat bukanlah satu galakan, kerana konsep tidur hanya untuk membolehkan badan mendapat rehat agar kembali segar untuk kita meneruskan ibadat kepada Allah s.w.t dan memenuhi tanggungjawab keperluan dunia. Demikianlah rahsia tidur, umpama kematian sementara bagi manusia, satu experimentasi bagi insan bagaimana rasanya 'mati'. Tidur amat diperlukan, bagi seorang bayi 12-14 jam untuk proses pembesarannya, bagi manusia dewasa cukup 4-6 jam. Namun, jika dalam semua keadaan, baik dalam mesyuarat, dalam majlis, dipejabat kita sentiasa mahu tertidur, ini bermakna konsep tidur telah tidak kita gunakan secara yang wajar. Kita telah abaikan dan salahgunakan salah satu rahmat dari Allah s.w.t.

Golongan jenis ini digelar 'kaki tidur'. Puncanya boleh jadi pelbagai, kerana penyakit yang dihadapi, boleh jadi kerana sifat semulajadi orang berkenaan yang memang malas', budaya hidup orang berkenaan, kurang tumpuan, tidak komited dalam tugasnya, atau kerana merasa seronok apabila dapat curi-curi tidur, sehingga akhirnya tidur bukan lagi satu keperluan tapi sudah menjadi satu kemestian dan tabiat yang sukar dihapuskan. Tertidur, tidur, ditiduri, menidurkan juga mempunyai makna berbeza. Apa yang penting janganlah kita taksub dengan tidur, kerana tidurlah sebagai satu ibadah, jangan jadikan tidur sebagai satu yang boleh ,membawa kerosakan imej, peribadi dan akhirnya merosakkan diri kita.

Ini kerana orang yang terlebih tidur akan ditimpa penyakit yang tidak ada ubatnya. Penyakit malas 'raja' segala penyakit yang akan merugikan bukan sahaj diri sendiri malah juga orang lain. Tidurlah wahai permaisuri, tidurlah. pejam mata, Jika kau tidur lena, impikan bahagia, di taman syurga loka(phrase ini khas untuk orang yang khusuk dan tawaduk dengan tidur).

Monday, January 08, 2007

PILIHANRAYA DATANG LAGI

Tirai 2007, selain bencana banjir yang kini mula menjengah kenegeriku di Kedah dan seperti biasa di Kelantan, tahun yang bagi kalendar Cina adalah 'tahun khinzir', RAKYAT Malaysia khususnya di Batu Talam, Raub, bakal menerima durian runtuh. Apa tidaknya mulai 16-28 Januari ini, maka segala pembesar, pemimpin negara dari seluruh pelusuk Malaysia akan mendekati, membelai dan berbondong-bondong membawa lampu ajaib untuk menunaikan apa jua kehendak dan permintaan lebih 10,000 pengundi. Tujuannya hanya satu to increase and preserve political power. To win by-election through whatever means.

Lalu konsep dan pendekatan Machieavalli, 'the ends justifies the means' akan berleluasa. Sebab itu, saya menolak pandangan Tun Mahathir bahawa pilhanraya kecil ini adalah medan untuk menguji mood rakyat yang dilihat kurang baik tidak seperti tahun 2004 dahulu. Pilihanraya bukanlah soal mood, pilihanraya adalah tentang ;situasi semasa', pihak mana yang mampu menawan hati pengundi semasa kempen dijalankan, mampu mempersembahkan isu dalam bentuk yang menarik perhatian dan mampu menghamburkan segala bentuk kebendaan, maka parti berkenaanlah akan dipilih. Malaysia dan rakyatnya belumlah mencapai satu tahap pemikiran dan sosiopolitik yang matang.

Sebagai contoh personaliti, karisma, personal komunikasi dan sahsiah dan tingkat keilmuan serta visi kepimpinan jarang diambil kira oleh pengundi sebelum memilih. Apa yang mustahak bagi segelintir pengundi, siapa sahaja yang dipilih , nasib rakyat tidak akan banyak berubah. Bagi segelintir pengundi yang taksub dengan parti tertentu, golongan ini tidak ada rasionalnya lagi. Mereka memilih atas prinsip kesetiaan pada parti meskipun calon yang diletakkan oleh parti mereka, bobrok dan begitu rendah moral atau lemah kepimpinannya. Apa yang penting bagi pengundi jenis ini bukanlah faktor calon, tapi parti induk yang mewakili mereka.

Bagi pengundi lain pula mereka melihat keupayaan, kepetahan calon berpidato, status latarbelakangnya, sama ada anak tempatan atau orang luar. Budi pekertinya, pegangan agamanya, track-record perkhidmatannya pada rakyat dan parti selain kemampuan membawa pengundi ke gerbang kemajuan. Pengundi jenis ini amat minoriti bilangannya, justeru janganlah salahkan YB yang baru diplilih nanti jika selepas menang, YB berkenaan sibuk berkampung di KL menjalankan urusan businessnya, kerana majoriti pengundi masih lagi mempunyai sikap dan pemikiran separa matang , dan mengamalkan nilai politik era 50-an. Berpestalah penduduk Batu Talam, peniaga goreng pisang, rumah sewa orang kampung, gerai mee rebus, warung kopi, motel, rumah tumpangan serta kereta sewa, akan terlebih dilanggan oleh orang dari luar. Rahmat rezeki dari Allah s.w.t untuk penduduk batu Talam.

Selamat berkempen, selamat berpesta dengan wang ringgit yang bakal gugur dari langit dan inilah kesempatan anda untuk mengutip zakat , mengambil sedekah dari pembesar negara yang sebahagian besar dari mereka tidakpun pernah menjejakkan kaki ke kawasan ini. Namun, kerna terpaksa demi undi,maruah parti ku gagahkan , kurelakan jua kaki ini melangkah pergi walau terpaksa meninggalkan anak isteri, tidak mengapa kerana di sana nanti, penuh dengan putera dan puteri yang bersorak meriah di hari mengundi, pesta buat kesekian kali yang memang diidamkan oleh setiap pengundi. Selamat mengundi, undilah menggunakan kepala otak bukannya dengan menggunakan kepala lutut.

Tuesday, January 02, 2007

HUJAN, UJIAN, KORBAN, PEMBUKA TAHUN 2007


Saat akhir 2006 melabuhkan tirai, dan bermula awal 2007, hujan datang lagi. Pesta banjir bagi kami yang dahulunya adalah rutin biasa di Kedah kini mem bahkan wilayah selatan tanahair. Johor, Melaka, Pahang dan N. Sembilan. Banjir adalah ujian Allah s.w.t. Barangkali mahu membawa segala kotoran, daki dan dosa. Apabila ujian dalam bentuk musibbah berkenaan datang, maka kesemua sama ada yang munafik, beriman atau kafir kepada Allah akan menerima nasib yang sama. Banjir bukanlah suatu fenomena baru. Dikisahkan di dalam Al-Quran banjir besar sebagai satu balasan Tuhan yang diturunkan kepada kaum Nabi Noh a.s. kerana keengkaran mereka mendustakan Rasul pilihan Tuhan. Yang selamat hanyalah beberapa kerat pengikut Nabi Noh yang berlindung di atas bahtera yang dibina baginda atas perintah Allah s.w.t. Malah dalam malapetaka ini, anakanada Nabi Noh turut terbunuh kerana beliau engkar dan enggan tunduk pada ajaran bapanya dan derhaka pada perintah Allah s.w.t. Banjir besar juga adalah fenomena umum di negara maju. Amerika Syarikat misalnya di Miami Florida taufan katrina, membawa banir dan kemusnahan besar. Demikian juga taufan durian, setajam durinya telah membawa kemusnahan yang bukan sedikit kepada penduduk di kepulauan Filipina. Banjir besar juga sering melanda negara bertanah rendah seperti Bangladesh . Malah dalam pada rakyat Malaysia pada penghujung 2006 merungut, membebel akibat dilanda banjir kerana selama ini mereka dibiasakan dengan budaya selesa, rakan se agama di Acheh turut dilanda musibbah yang sama. Namun berbanding nasib penduduk di Bangladesh, Acheh, rakyat Malaysia yang dilanda bencana banjir dimewahkan dengan bantuan makanan melimpah ruah. Wang biaya sekolah anak-anak, gantirugi tanaman, ternakan, bantuan , selimut bantal, beras, makanan tin, disediakan pusat pemindahan bertilam empuk, dilawati oleh pembesar negara. Inilah kejayaan negara, terus memanjakan rakyat, yang akhirnya menjadikan rakyat negara ini kurang bersedia menangani soal pengurusan bencana dan krisis. Rakyat Malaysia, masih dibuai mimpi indan, mereka mengharapkan kerajaan punyai lampu ajaib aladdin untuk memakbulkan segala harapan mereka. Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam kurang menghayati prinsip korban sepertimana taatnya Nabi Allah Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya sendiri Nabi Allah Ismail untuk dijadikan korban, hanya kerana mahu tunduk pada perintah Allah s.w.t. Malah Nabi Allah Ismail a.s dengan keimanan yang tinggi apabila ditanya oleh bapanya, dengan rela hati bersedia untuk dirinya dikorbankan jika itu sudah kehendak Allah. Rakyat Malaysia kurang bersedia menghadapi ujian. Ujian duniawi, ukhrawi. Ujian akademik, ujian ketabahan mahupun ujian hidup. Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia ujia dan pengorbanan bukanlah imej atau pegangan popular hidup mereka. Ramai rakyat Malaysia yang khuatirkan ujian dan pengorbanan. Puncanya kerana imej dan sentimen subsidi begitu kuat mempengaruhi penghidupan mereka, dari semenjak lahir sehinggalah diliang lahadkan, semuanya disubsidi kalau tidakpun oleh kerajaan oleh pertubuhan khairat kematian. Malah mentaliti rakyat Malaysia tidak mustahil khususnya yang beragama Islam, apabila di Mahsyar nanti, mereka inilah yang datang berduyun dihadapan kekasih Allah s.w.t Nabi Muhammad s.a.w untuk memohon subsidi dalam bentuk syafaat Nabi, kerana didunia dahulu mereka tidak mahu bersusay payah mengamalkan amal baik bagi dibalasa syurga. Rakyat Malaysia sebahagian besarnya bermuka tebal, yang kaya masih mahu merompak hak yang miskin, yang miskin terlampau mahu dimanjakan sehingga langsung tidak mahu berdikari, yang lemah terus mahu dibantu sehingga seolah-olah menjadikan dirinya tidak berdaya, yang kuat terus menerus menindas yang lain kerana inilah dunianya, inilah masa menunjukkan kehebatan mereka. Inilah pembuka tahun 2007, bencana dari hujan, kurangnya semangat kental dalam menghadapi ujian dan kendurnya sifat berkorban dari sanubari rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bermentaliti subsidi Boleh Blah.